Milo Ais RM3.20 Jadi Bahana Kepada Peniaga

milo-ais
Kredit: Perak Today

Seorang pengusaha restoran didenda sebanyak RM30,000 atau penjara 6 bulan oleh mahkamah di Kota Kinabalu kerana menjual minuman Milo ais pada harga tidak masuk akal.

Pemilik Anak Mami The Restaurant 3, Shihan Mohd Salim, 28 didapati bersalah di bawah Seksyen 21 (5) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal menyediakan maklumat lanjut serta resit jualan pada tempoh masa Januari 2015 hingga Mac 2016 untuk minuman seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 21 (2).

Beliau juga gagal menunjukkan invois untuk coklat, serbuk malt, susu dan ais beserta tanda harga untuk minuman tersebut dalam tempoh tujuh hari bekerja bermula 9 May 2016.

Menurut Timbalan Pengarah Kerajaan Negeri, V. Ravichandran menyatakan bahawa pengusaha tersebut telah menjual minuman Milo ais itu pada harga RM3.20 dan pelanggan telah melakukan aduan berkenaan harga yang melampau tersebut pada 7 Mac 2016.

Ini antara bukti bahawa kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) komited membanteras pencatutan dikalangan para peniaga yang cuba menindas pengguna. Pengguna juga digalakkan untuk membuat aduan sekiranya terdapat pelanggaran hak pengguna berlaku kepada pihak KPDNKK.

Sumber: New Straits Times