Mulanya Sekadar Suka-Suka, Roti Canai Berbentuk Ular Ini Dapat Sambutan Ramai

Roti Canai Ular

Roti canai berbentuk ular?

Orang Malaysia dan roti canai memang tidak dapat dipisahkan. Lihat sahaja gerai atau restoran yang menyajikan roti canai sedap dan unik, pasti penuh dengan pelanggan.

Apa yang menarik tentang roti canai ialah ia sesuai dinikmati pelbagai cara. Sama ada roti canai banjir, telur goyang, kita boleh setuju kesemuanya sedap-sedap belaka.

Tetapi pernah tak anda mencuba roti canai berbentuk ular?

Keunikan seorang pengusaha roti canai mencipta roti canai berbentuk ular, membuka pintu rezeki berganda baginya apabila roti canai yang unik itu kini mendapat sambutan ramai.

Pembuat roti canai ular, Che Harun Ali berkata idea mencipta roti canai ular itu timbul selepas beliau sekadar mencubanya secara suka-suka untuk dimakan sendiri, sebelum mula memperkenalkannya kepada pelanggan sejak setahun lalu.

“Pada awalnya, saya hanya mencuba sekadar suka-suka untuk dimakan sendiri, namun tidak menyangka ketika itu ia dilihat seorang pelanggan dan terus meminta untuk membuat kepadanya juga.

“Daripada situ saya terdetik untuk menjadikan roti canai berbentuk ular ini sebagai menu pilihan pelanggan di kedai, dan sehingga ke hari ini ia semakin mendapat permintaan ramai dalam kalangan pelanggan,” katanya.

Roti Canai Ular

Kedai roti canai tersebut terletak di Kampung Kubur Kuda, Kota Bharu mempunyai beberapa pilihan roti canai ular termasuk perisa milo, nestum, milo dan keju, serta planta dan susu, yang dijual pada harga RM1.20 hingga RM3 sebiji.

Selain roti canai ular, pelanggan turut mempunyai pilihan lain antaranya roti hamlet, roti tisu dan roti pisang. Kedai ini beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 11 malam.

Tidak dinafikan, ada di antara pelanggan yang merasa geli dan gerun untuk memakan roti canai berbentuk ular ini, namun mereka masih tetap mempunyai pilihan lain.

Jika anda datang ke Kota Bharu, jangan lupa singgah ke kedai ini untuk merasakan sendiri pengalaman menikmati roti canai ular.

Sumber: ProjekMM