Muzium Negara, Nak Buat Apa Di Sana?

Mereka yang berulang alik menaiki MRT di Lembah Klang mungkin hanya mengenali Muzium Negara sebagai salah satu stesen perhentian di sepanjang laluan MRT. Bila anda turun dari tren, anda sebenarnya akan nampak bangunan Muzium Negara yang letaknya hanya beberapa langkah saja dari stesen MRT tersebut.

Selain berperanan sebagai ‘penjaga tinggalan sejarah negara’, bangunan dua tingkat ini sebenarnya mempunyai latar belakang yang sangat hebat. Dibina di tapak bekas Muzium Selangor, sebahagian daripada bangunan sekarang ini dahulunya telah dibom secara tidak sengaja oleh Tentera Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua. Di kalangan beberapa kakitangan muzium ada yang mengatakan pernah mendengar bunyi seakan bom pada waktu malam. Mungkinkah ia berkaitan dengan kejadian bom semasa Perang Dunia Kedua tersebut?

Kalau anda nak tahu, pihak Muzium negara sebenarnya mengadakan acara tahunan untuk pelawat menghabiskan malam di muzium. Mungkinkah anda boleh merasa pengalaman macam dalam filem Night at the Museum? Malangnya, acara ini hanya dibuka untuk pelajar sekolah. Bagi mereka yang bukan pelajar sekolah, lawatan ke Muzium Negara pada siang hari juga boleh menjadi pengalaman yang indah, no worries OK. Butiran lanjut boleh didapati di laman web muzium rasmi (muziumnegara.gov.my).

Mengapa anda perlu pergi ke sana

Malaysia telah melalui banyak pengalaman dan peristiwa bersejarah, semuanya diberitahu secara terperinci di Muzium Negara ini. Koleksi ini dipaparkan di empat galeri: Sejarah Awal, Kerajaan-Kerajaan Melayu, Era Kolonial dan Malaysia Kini.

Sesetengah pameran mungkin sedang dalam fasa naik taraf semasa anda melawat, tapi anda masih boleh pergi ke pameran yang lain yang menarik di sana. Anda boleh melihat unsur multi-cultural yang menjadikan negara ini unik, di galeri Malaysia Kini.

Sementara itu, galeri Sejarah Awal akan membuat anda teruja dengan koleksi pelbagai kaedah pengebumian seperti pengkebumian tempayan, keranda kayu balak dan kubur kepingan batu dan juga senjata-senjata kuno.

Perak Man

Apa nak buat di sana

Mulakan lawatan anda di Galeri Sejarah Awal di tingkat bawah, di mana anda boleh mengesan asal-usul penduduk terawal di negara ini. Galeri ini menunjukkan penemuan-penemuan dari Zaman Palaeolithic dan peninggalan Hindu-Buddha di Lembah Bujang. Salah satu artifak terkenal di sini ialah loceng gangsa Dong Son yang bertarikh 150 tahun Masihi.

Kemudian, teruskan lawatan anda ke galeri Kerajaan – kerajaan Melayu. Memasuki galeri ini memang rasa istimewa kerana anda akan melangkah melewati sebuah pintu yang sangat besar dan cantik. Perhatikan juga patung Avalokitesvara dan juga mural yang menggambarkan pahlawan Hang Tuah.

Tingkat dua muzium pula menempatkan galeri Era Kolonial dan Malaysia Kini. Galeri Era Kolonial menonjolkan era pentadbiran kuasa asing manakala galeri Malaysia Kini memaparkan perjalanan kemerdekaan negara.

Lawatan berpandu secara percuma di dalam muzium juga disediakan oleh sukarelawan muzium, tetapi dengan tempahan yang dibuat lebih awal.

Galeri Melayu

Siapa yang confirm teruja untuk ke sana

Mereka yang mempunyai penghargaan terhadap sejarah akan rasa teruja di sini. Bagi pelajar sekolah, mungkin lebih mudah untuk belajar mengenai sejarah Kesultanan Melaka dan era penjajahan negara di sini, berbanding hanya membaca buku teks subjek Sejarah semata-mata. Cuba dulu baru tahu, OK.

Cara mudah untuk ke sana

Muzium Negara kini mudah dituju melalui pelbagai pengangkutan awam (LRT, KTM dan bas) kerana lokasinya yang begitu dekat dengan KL Sentral. Jika anda menaiki MRT, anda boleh turun di stesen Muzium Negara.

Berikut maklumat tentang Muzium Negara:

Muzium Negara
Jalan Damansara, Tasik Perdana
50566 Kuala Lumpur
Tel: 03-2267 1000 (ext: 321/317)
Email: [email protected]
Waktu operasi: 9am to 6pm. Ditutup pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sahaja.

Sumber: The Star