Pembayaran Tol Jadi Lebih Mudah Selepas Ini

pembayaran tol mudah
Sumber: Cyber-RT

VISA, firma teknologi pembayaran global telah bekerjasama dengan PLUS Malaysia Bhd bagi menyokong program perintis awam RFID PLUS (teknologi pengecaman menggunakan frekuensi radio) untuk memodenkan pembayaran tol di Malaysia.

pembayaran tol mudah
Sumber FB PLUS Malaysia

Berdasarkan kenyataan, firma itu akan berkongsi kepakaran teknologi dan pengetahuan dalam pembayaran tanpa sentuhan sebagai langkah untuk memudahkan dan memberi lebih pilihan kepada pengguna membuat transaksi di plaza tol Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Plaza Tol Jitra mulai 15 Disember ini.

Melalui RFID PLUS, ia menawarkan sistem pembayaran terbuka dan fleksibel yang membolehkan orang ramai melakukan pembayaran tol secara terus menerusi kad kredit, kad debit atau prabayar Visa. Pelancaran program ini juga menyokong hasrat Lembaga Lebuhraya Malaysia ke arah memodenkan lebuh raya betaraf dunia dari aspek keselamatan, kecekapan dan kualiti.

Program perintis awam ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol kerana pemandu tidak perlu bersusah payah untuk menambah nilai, menukar alat peranti atau bateri. Pengguna juga mudah untuk mengawal dan memantau transaksi tol secara atas talian di samping menikmati ganjaran yang ditawarkan menerusi program PLUSMiles.

VISA juga berharap penggunaan kad kredit, kad debit atau prabayar Visa akan dijadikan sebagai kaedah pembayaran pilihan utama oleh semua pengguna lebuhraya pada masa akan datang.

Pengguna yang mengambil bahagian dalam program perintis ini akan diberikan tag RFID PLUS, yang disambungkan terus kepada kad kredit atau kad debit secara percuma mulai 15 Disember. Bagi pengguna lebuh raya di Utara yang berminat untuk mengambil bahagian, boleh mendaftar di laman sesawang PLUSMiles.

Sebanyak 10,000 tag RFID PLUS akan diberikan secara percuma kepada pengguna lebuh raya harian di tiga buah Plaza Tol tersebut.

Sumber: Astro Awani