Projek MRT Tidak Diperlukan – Dr. Mahathir

MRT tak diperlukan
Sumber: Malay Mail

Dengan adanya pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT), rata-rata pengguna berpuas hati dan berasa bangga kerana ia memudahkan mereka ke destinasi dengan cekap dan cepat. Bukan itu sahaja, keadaan MRT yang lebih luas dan banyak kemudahan yang disediakan menjadikannya sebuah pengangkutan awam yang dilihat mewah untuk rakyat tempatan.

MRT membazir
Sumber: The Malaysian Insight

Namun, disebalik kejayaan projek MRT ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak segan silu mengkritik tindak tanduk pentadbiran sebelum ini. Berdasarkan temu bual FMT bersama Perdana Menteri kita, Dr. Mahathir menyatakan projek seperti MRT ini tidak diperlukan dan sudah membazirkan banyak wang.

Melihat hasil projek itu, beliau mempersoalkan kemewahan reka bentuknya dan berkata projek itu hanya akan menampakkan manfaat ekonominya pada masa hadapan.

Pembinaan MRT diwar-warkan sebagai kunci kepada masalah pengangkutan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya selain menyokong kepada kerancakan kegiatan ekonomi. Dr. Mahathir juga mengakui wujud rasa keterujaan apabila MRT mula beroperasi tahun lepas.

Sememangnya ramai orang sangat gembira melihat MRT dibina, namun bilangan penumpang yang menggunakan MRT sangat kecil. Ia tidak cukup memberi pulangan yang mana pembinaan projek ini menelan belanja sehingga RM50 bilion.

Beliau juga bersetuju projek itu direka untuk menampung pertumbuhan masa depan Lembah Klang namun pembinaan projek itu sepatutnya boleh dibina dengan sistem lebih ringan yang tidak begitu mahal seperti monorel daripada MRT itu sendiri hanyalah lebih kepada kereta apinya dengan melibatkan kos tinggi.

Jika dilihat pada pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang, antara projek kebanggaan Dr. Mahathir, kedua-duanya siap dibina pada masa yang tidak berpihak kepada beliau.

Pada masa itu, ramai pengkritik berkata ia satu pembaziran projek dan menuduh beliau menghabiskan dana awam ke atas projek tidak mampan ketika krisis mata wang Asia berada pada puncaknya.

Meskipun begitu, Dr. Mahathir terus berpendapat lapangan terbang dan beberapa projek lain yang dipromosikannya merupakan satu keperluan. Tambahnya, lapangan terbang yang dibuka pada 1998, sepanjang 20 tahun, trafiknya meningkat dari 18 juta hingga 42 juta penumpang.

Namun hujah yang sama tidak boleh digunakan untuk mewajarkan MRT yang melibatkan bayaran pampasan bagi pengambilalihan tanah kerana masalah utama MRT ialah kegagalan kerajaan dahulu berunding mengenai reka bentuk yang lebih munasabah dan kurang mahal.

MRT membazir
Sumber: New Straits Times

Dr. Mahathir juga berkata berdasarkan pembinaan 2 laluan antara Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, ketika itu mereka menjangkakan masyarakat tidak akan menggunakan kereta sebaliknya menaiki kereta api.

Pada awalnya, masyarakat tidak mahu menggunakannya, tetapi apabila mereka mendapati betapa mudah bagi mereka, bilangan penunggangnya menjadi besar sehingga tidak cukup ruang.

Beliau juga menyimpulkan, apabila sesuatu yang dibina akan hanya digunakan jumlah penumpang dalam tempoh 20 atau 30 tahun, ia perlu dibina secara berperingkat.

Apa kata anda yang menggunakan perkhidmatan MRT sebagai pengangkutan harian, setujukah?

Sumber: Free Malaysia Today