Penduduk Cyberjaya Bakal Nikmati Penghantaran Makanan Melalui Dron

Hantar makanan guna dron

Khidmat penghantaran makanan semakin canggih apabila Malaysia bakal mewujudkan perkhidmatan tersebut hanya menggunakan dron. Perkhidmatan ini diwujudkan demi memenuhi permintaan pelanggan yang inginkan penghantaran cepat.

Namun, perkhidmatan ini khusus bagi warga Cyberjaya sahaja bermula penghujung bulan Jun ini.

Average Drone Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang berkecimpung dalam industri dron sejak 2014, merancang untuk mewujudkan khidmat tersebut dalam masa terdekat dengan kerjasama Futurise, sebuah anak syarikat Cyberview di bawah Kementerian Kewangan.

Perkhidmatan tersebut dalam tempoh percubaan selama tiga bulan dengan melibatkan penghantaran makanan di kawasan berada dalam lingkungan 2km dari bangunan Futurise.

Hantar makanan guna dron
Sumber: BH Plus

Dalam tempoh percubaan itu hanya tujuh jenis makanan akan ditawarkan, melibatkan makanan jenis mi, bihun, nasi, burger, sandwic, kuih dan buah-buahan.

Pembeli juga akan menggunakan aplikasi mudah alih bagi memudahkan mereka untuk menempah makanan. Manakala tempoh daripada proses tempahan sehingga makanan itu sampai ke destinasi pesanan, mengambil masa selama 12 minit dan kos penghantaran adalah sebanyak RM2.50 bagi setiap perjalanan.

Jangan risau, penghantaran makanan melalui dron ini juga boleh diterbangkan pada waktu hujan, tetapi bukan dalam situasi hujan lebat.

Kita tunggu dan lihat sama ada penghantaran makanan melalui dron berhasil atau sebaliknya.

Sumber: Bernama