Raj’s Banana Leaf Didenda RM5,000

raj banana leaf

Intercompass Sdn Bhd selaku pemilik kepada restoran Raj’s Banana Leaf hari ini telah didenda sebanyak RM5,000 di Mahkamah Majistret. Syarikat swasta ini telah menerima dua pertuduhan atas kegagalan melaporkan butiran diri dua orang pekerja asing yang bekerja di restoran tersebut pada Januari lalu.

Pengarah syarikat Intercompass Sdn Bhd, Muhamad Rizal Abd. Rahman, 40 telah menerima pertuduhan daripada Majistret Wong Chai Sia dan telah mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan yang dikenakan.

Muhamad Rizal Abd Rahman, wakil syarikat Intercompass Sdn Bhd

Selain itu, mahkamah juga mengenakan waran levi sekiranya pihak syarikat Intercompass Sdn Bhd gagal membayar denda yang dikenakan.

Dua orang pekerja yang dikatakan berasal dari India, C. Suresh dan K. Rajalingam yang berusia dalam 30an telah gagal melaporkan butiran penggajian pekerja asing kepada Jabatan Tenaga Kerja dalam tempoh 14 hari setelah mengambil mereka sebagai pekerja.

Terdahulu, pada 30 Mei 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan restoran Raj’s Banana Leaf ditutup serta-merta setelah mendapat aduan daripada orang ramai ke atas video mengenai pekerja restoran tersebut membasuh pinggan mangkuk menggunakan takungan lopak air di jalanan sehingga menjadi tular di media sosial.