Resipi Cream Puff Gebu Bersama Inti Kastard

Resipi Cream Puff
Sumber: AinKamal

Tidak susah sebenarnya membuat cream puff ini. Nampak kelihatan rumit tapi sebenarnya sangat mudah dilakukan dan bahannya tidak susah untuk dicari. Sesuai dibuat untuk majlis keramaian atau rumah terbuka.

Jom kita lihat caa-cara membuat pastri cream puff gebu ini.

Bahan-bahan:
100gm mentega
275gm air
150gm tepung gandum
3 biji telur gred C
1 sudu teh esen vanila

Cara membuat:
1. Satukan marjerin dan air di dalam kuali. Masak hingga marjerin cair. Padamkan api.
2. Masukkan tepung. Kacau hingga sebati dan pastikan adunan tidak berketul.
3. Buka api kecil sahaja dan masak adunan hingga tidak melekat dikuali.
4. Alihkan adunan ke bekas yang lain dan biar sejuk seketika.
5. Bila adunan sudah suam, boleh masukkan esen vanila diikuti telur satu persatu. Adun hingga sebati dan dapatkan tekstur yang dikehendaki.
6. Masukkan adunan ke dalam piping bag.
7. Paipkan adunan ke dulang yang telah dialas dengan baking paper. Sebelum itu, panaskan ketuhar pada suhu 180C selama 10-15 minit. Tekan sedikit muncung cream puff menggunakan jari dan renjis sedikit air.
8. Bakar selama 40 minit atau hingga pastri cream puff keperangan.
9. Setelah siap, sejukkan pastri cream puff di dalam peti sejuk sebelum dipaipkan inti.

Tip:
1. Masukkan telur sebiji demi sebiji bagi mengelakkan terlebih. Contohnya, jika resipi guna 4 biji telur, masukkan 3 biji terlebih dahulu dan tengok keadaan doh.
2. Jika adunan doh sempurna, sudah tidak perlu tambah. Jika agak kental, pecahkan telur keempat dalam bekas lain, pukul sedikit dan tambah ke dalam adunan sedikit demi sedikit hingga dapat adunan yang dikehendaki.
3. Kalau ketuhar cepat panas, turunkan suhu. Jangan buka pintu ketuhar semasa proses pembakaran berlaku bagi mengelakkan pastri tidak menjadi.
4. Guna api atas bawah. Jika ketuhar anda ada kipas, boleh pasang kerana ia membantu proses puff mengembang dengan cantik.

Resipi Cream Puff

Bahan-bahan inti kastard:
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu bear tepung kastard
200ml susu segar
4 sudu besar gula pasir
1 biji telur saiz A
1 sudu besar mentega
1/2 sudu kecil esen vanila

Cara membuat:
1. Masukkan tepung gandum, tepung kastard dan 2 sudu besar susu dalam periuk. Kacau rata hingga tidak berketul.
2. Kemudian masukkan telur dan esen vanila, kacau rata lagi.
3. Masukkan baki susu segar tadi dan gula, masak dengan api perlahan sehingga pekat. Sentiasa kacau untuk mendapatkan kastard yang halus.
4. Tutup ai dan masukkan mentega. Kacau sebati.
5. Masukkan kastard ke dalam piping bag dan sedia dipaipkan ke dalam cream puff.

Selamat mencuba!

Sumber: Ninamirza, Rasa