Resipi ‘Homemade’ Bebola Daging Ala IKEA

Resipi meatball ikea
Sumber: Makanminumbest

Pada pembukaan cawangan terbaharu IKEA di Batu Kawan, lebih 32,000 biji bebola daging berjaya dijual. Ini membuktikan bebola daging IKEA menjadi senarai makanan kegemaran rakyat Malaysia.

Memang sesaklah lepas ni apabila mahu pergi makan bebola daging IKEA. Daripada bersesak, lebih baik buat sendiri bebola daging ala IKEA. Boleh buat sebanyak mana yang anda suka.

Bahan-bahan:

500gm daging kisar
1/2 biji bawang besar dicincang halus
1 sudu makan mentega
3/4 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil mixed spices @ rempah peppa
1 sudu kecil serbuk kayu manis
1/3 sudu kecil gula
1 1/2 sudu kecil garam
2 sudu makan serbuk roti dikisar halus
30ml susu segar
1 biji telur gred C

Cara memasak:

1. Tumis bawang besar bersama mentega hingga keperangan dan ketepikan.
2. Campurkan bahan-bahan selebihnya dan sebatikan. Kemudian masukkan bawang yang ditumis tadi. Uli bahan hingga sebati dan bulat-bulatkan mengikut saiz yang digemari.
3. Masak bebola daging dengan sedikit mentega. Masak menggunakan api sederhana sehingga bebola daging masak.

* Lebihan mentega dalam kuali boleh digunakan untuk menyediakan sos.
** Tak sempat sediakan bahan bebola daging, boleh beli bebola daging jenama Tesco.

Resipi meatball ikea
Sumber: Serious Eats

Bahan sos:

Lebihan mentega semasa menggoreng bebola daging
2 cawan stok ayam/ air rebusan ayam
2 cawan krim putar
1 sudu besar kicap cair
1 ketul kiub ayam
Sedikit serbuk lada hitam
1 sudu besar tepung jagung untuk memekatkan sos
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:

1. Satukan semua bahan kecuali krim putar dan bancuhan tepung.
2. Didihkan dan apabila rasa sudah cukup, masukkan krim putar. Didihkan lagi dalam seminit dan kecilkan api kemudian masukkan bancuhan tepung sedikit demi sedikit sehingga kuah menjadi pekat.
3. Hidangkan sos bersama bebola daging, jem beri dan kentang goreng atau kentang putar.

Selamat mencuba!

Sumber: RASA