‘Sebak, Gembira, Kagum Dengan Kuasa Allah’, Muzium Menara Jam Tarikan Baharu Di Mekah

Menara Abraj Al-Bait atau lebih dikenali sebagai Menara Jam Mekah merupakan sebuah bangunan dengan ketinggian 607 meter berhadapan Masjidil Haram. Menara ini bukan sekadar menunjukkan waktu dengan tepat, malah ia juga menjadi pusat penyelidikan astronomi yang menyumbang kepada kemajuan sains dan teknologi untuk manfaat manusia.

Siap dibina pada 2011, pelbagai kemudahan yang disediakan antaranya memiliki empat muka jam berwarna hijau yang mana di setiap sisi adalah Muzium Menara Jam. Keseluruhan muka jam yang menempatkan empat tingkat bangunan muzium itu adalah 35 kali lebih besar dari jam Big Ben di London, England.

Dibuka kepada umum awal Ramadan 2019, Muzium Menara Jam bukanlah sekadar muzium biasa yang hanya mempamerkan proses pembinaan menara jam tetapi ia lebih daripada itu.

Seorang pengguna Facebook, Hilmi Ya’kub berkongsi pengalamannya ketika mengunjungi muzium ini ketika berada di Mekah. Pada awalnya, Hilmi menganggap muzium ini hanya menunjukkan pengunjung proses pembinaan jam di Mekah itu sahaja tetapi sangkaan beliau meleset kerana selebihnya pelawat akan mengkagumi kekuasaan Allah S.W.T yang memelihara masa.

“Allah perintahkan kita solat mengikut masa yang telah ditetapkan. Dan Kaabah pula adalah arah qiblat untuk kita solat. Jadi, Jam Besar dan Kaabah adalah berkaitan antara satu sama lain.”

Dalam muzium ini, pelawat didedahkan mengenai kewujudan galaksi, bulan dan bintang serta alam semesta atas ketetapan masa yang dikawal oleh Pemiliknya, Allah S.W.T.

Tarikan Muzium Menara Jam Mekah
Sumber: FB

Seterusnya, pelawat boleh melihat sejarah jam bermula daripada zaman permulaan sehingga zaman digital.

Tarikan Muzium Menara Jam Mekah
Sumber: FB

Untuk tiket, setiap pelawat dikenakan bayaran masuk SR150 dan jika pergi lebih daripada seorang boleh mendapat diskaun 50%, iaitu SR75 sahaja. Ada juga tiket VIP iaitu sebanyak SR300, akan ada pemandu pelancong akan memberi penerangan setiap tempat yang dilawati.

Tarikan Muzium Menara Jam Mekah
Sumber: FB

Jika tiket biasa, akan diberikan satu alat audio untuk mendengar penerangan di setiap kawasan pameran. Boleh pilih bahasa sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Indonesia.

Tarikan Muzium Menara Jam Mekah
Sumber: FB

Paling menarik, pada sesi akhir pelawat dibawa masuk ke view deck yang memperlihatkan keseluruhan kota Mekah.

Tarikan Muzium Menara Jam Mekah
Sumber: FB

“Di sini saya rasa tiket SR75 itu sangat-sangat berbaloi. Tak dapat nak gambar dengan tulisan macam mana rasa kat sini. Sebak, gembira, kagum dengan kuasa Allah. Semua bercampur baur.”

Di sini, boleh bersiar seberapa lama yang kita mahu sehingga tamat waktu operasinya. Menurut Hilmi, waktu terbaik untuk naik ialah selepas solat Asar dan tunggu hingga waktu Maghrib sebab boleh melihat dua pemandangan berbeza yang cukup memukau.

Bagi yang menggemari ilmu astronomi, muzium ini adalah lokasi sesuai untuk mempelajarinya dengan lebih dekat di samping kita memuji kebesaran Allah S.W.T.

Sumber: FB Hilmi Ya’kub