Selain Pantai Bagan Lalang, Ini 5 Lokasi Menarik Dikunjungi Di Sepang

Tempat Menarik Sepang
Sumber: Biker's Day

Sebut sahaja mengenai destinasi menarik di Sepang, pasti ramai terfikir mengenai Pantai Bagan Lalang. Pelbagai aktiviti yang boleh dimanfaatkan sambil menikmati bayu pantai.

Tempat Menarik Sepang
Sumber: Selangor Kini

Sebenarnya, ada lagi tempat menarik di daerah Sepang ini yang patut anda kunjungi. Seperti yang sedia maklum, Sepang terletak dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Jadi ini beberapa lokasi menarik yang boleh anda kunjungi jika ke sana.

1. Ladang Buah Naga

Tempat Menarik Sepang
Sumber: Instagram

Jika anda mahu ke pantai Bagan Lalang, jangan lupa singgah ke ladang buah naga di sini. Ladang ini terletak di tepi jalan dari arah Sepang menuju ke Bagan Lalang.

Di ladang buah naga, anda boleh menikmati beberapa produk buah naga seperti jus buah dan kentang lenyek bersoskan jem buah naga. Salah satu kebun yang disarankan untuk pergi ialah Dragon Fruit Farm HL.

Selain menjamu selera, anda juga dibenarkan melawat ladang buah naga dan berpeluang memetik buah naga. Anda akan ditemani kakitangan ladang yang akan memberi penerangan mengenai penanaman buah naga.

2. Litar Antarabangsa Sepang (SIC)

Tempat Menarik Sepang
Sumber: Tourism Malaysia

Merupakan lambang kebanggaan rakyat Malaysia untuk sukan permotoran ini terletak kira-kira 45 kilometer dari ibu negara Kuala Lumpur dan berhampiran dengan KLIA.

Litar ini bukan saja menjadi lokasi penganjuran sukan permotoran bertaraf antarabangsa, malah ia turut menganjurkan pelbagai acara lain seperti konsert, kayuhan basikal, hari keluarga dan menguji kelasakan jentera.

SIC juga menganjurkan pakej khas untuk lawatan ke dalam litar yang direka supaya setiap ahli keluarga dapat meluangkan masa bersama-sama. Mereka akan dapat melawat dan menjelajah litar yang menjadi tuan rumah pelbagai perlumbaan bertaraf dunia ini.

3. Mitsui Outlet Park KLIA

Tempat Menarik Sepang
Sumber: The Star Online

Terletak berhampiran dengan lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan klia2 serta berjarak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur, Mitsui Outlet Park adalah pusat beli-belah yang menghimpunkan 50 jenama terkenal seluruh dunia di bawah satu bumbung.

Terdapat bas pengantara percuma untuk kemudahan pelancongan dari KLIA dan klia2 untuk ke pusat beli-belah ini. Jangan lupa sediakan wang secukupnya untuk berbelanja.

4. Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA

Tempat Menarik Sepang
Sumber: Twitter

Sekali sekala perlu merasai pengalaman tidur di hotel milik Lembaga Tabung Haji ini yang terletak kira-kira empat kilometer dari KLIA. Hotel bercirikan seni bina Islam ini terdiri daripada tiga bangunan sembilan tingkat dengan 333 bilik, dilengkapi dengan restoran yang menyediakan pelbagai juadah masakan cita rasa Malaysia, kolam mandi berasingan untuk lelaki dan wanita, spa dan gimnasium.

Hotel ini telah mula beroperasi pada Oktober 2018 dan patuh syariat islam, menawarkan harga serendah RM288 mengikut pakej bilik yang disediakan.

5. Muzium Automobil Malaysia

Tempat Menarik Sepang
Sumber: Jom Jalan

Terletak di Welcome Centre SIC dan mempuyai ruang pameran dua tingkat. Bagi penggemar rekaan automobil dan barangan antik, di sinilah tempat yang sesuai untuk anda kunjungi kerana mempamerkan pelbagai jenis kenderaan klasik yang pernah digunakan di negara ini satu masa dahulu.

Antara jenis kenderaan yang dipamerkan adalah The Brushmobile 1904, Ford Speedster 1923 dan Alvis Tourer 1935. Kemasukan adalah percuma dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Untuk tempat makan pula, antara yang terkenal ialah Restoran Leten Makanan Cina Halal yang terletak di tingkat satu Mitsui Outlet dan Medan Ikan Bakar & Makanan Laut di Bagan Lalang.

Tempat Menarik Sepang
Sumber: Aku Sis Lin