Selepas 32 Tahun Berkhidmat, Pekerja Sindrom Down Bersara Dari McD

Sindrom Down berlaku apabila seseorang itu dilahirkan dengan 3 salinan kromosom 21, terlebih 1 daripada individu biasa. Sindrom Down yang tidak termasuk dalam kategori penyakit ini tidak mempunyai ubat untuk menyembuhkannya.

Senang dikenali melalui ciri fizikal yang hampir sama, golongan Sindrom Down dapat dikenali melalui ciri-ciri seperti pangkal hidung yang kemek, jarak antara kedua mata yang jauh dan mulut yang sentiasa terbuka.

Namun sekiranya diberikan pendedahan yang baik, golongan Sindrom Down juga mampu menjalani kehidupan biasa seperti individu normal lain. Ini yang berlaku kepada Russel O’Grady, seorang lelaki Sindrom Down di Sydney.

Memulakan kerjaya di McD sejak berusia 18 tahun, Russel menjadi terkenal dalam kalangan pelanggan dan rakan sekerjanya kerana berani menceburkan diri dalam bidang pekerjaan walaupun serba kekurangan.

McD Sindrom Down

Banyak melalui perubahan setelah bekerja, Rusell menjadi kesayangan para pelanggan kerana sifatnya yang penyayang dan suka tersenyum sehingga ada di antara mereka yang datang ke restoran segera tersebut semata-mata untuk berjumpa dengannya.

Mendapatkan pekerjaan menerusi Skim Sokongan Pekerja, Rusell menunjukkan kesungguhan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Setelah 32 tahun berkhidmat, 2018 menjadi tahun apabila beliau mengambil keputusan untuk berhenti disebabkan masalah kesihatan.

Rusell bukanlah satu-satunya individu penghidap Sindrom Down yang berjaya membina kerjayanya sendiri. Ramai lagi individu yang serba kekurangan tetapi rajin berusaha untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka ini mampu berdikari tanpa perlu menyusahkan sesiapa.

Yang paling penting, masyarakat kini perlu menjadi lebih terbuka dalam memberikan peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan agar mereka mampu bergerak seiring ke hadapan. Buat mereka sihat tubuh badan tetapi masih malas bekerja, tidak punya rasa malu kepada golongan ini?

Sumber: 9GAG