Sultan Johor Pandu Kereta Api Sempena Kembara Mahkota Johor 2018

Sumber: Youtube

Pada hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan memulakan penjelajahan dengan memandu kereta api sejauh 98 kilometer dari Stesen Keretapi Kluang menuju ke Stesen Keretapi Segamat. Kembara yang dijalankan ini sudah memasuki tahun ke-18 dan edisi ke-21, berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 26 November.

KMJ 2018
Sumber: Satu Johor

Penjelajahan ini menyaksikan perjalanan sejauh 777 kilometer bermula dari Istana Pasir Pelangi hingga destinasi akhir iaitu Laman Kampung Melayu Kluang. Pada hari kedua jelajah ini, Sultan Ibrahim berkenan bersantap pagi bersama warga pekerja KTMB sebelum berangkat meninggalkan stesen berkenaan dengan memandu keretapi menuju ke destinasi seterusnya.

Perjalanan berhenti di Padang Awam Batu Anam menyaksikan Sultan Ibrahim akan memandu kereta beroda tiga Morgan yang direka khas sebelum destinasi terakhir di Batu Pahat. Setiap persinggahan Sultan Johor akan diadakan beberapa program membabitkan penyertaan keluarga dan kerabat Diraja Johor bersama rakyat antaranya pameran produk, demonstrasi bakar lemang, memasak dodol, membuat sajian masyarakat India, sukan rakyat dan pelbagai acara lagi.

KMJ 2018
Sumber: Satu Johor

Jelajah Kembara Mahkota Johor ini merupakan acara kerabat Diraja Johor bertemu rakyat di semua daerah di negeri itu. Pada hari pertama yang bermula 26 November, menyaksikan rombongan Diraja Johor menuju ke Kampung Temenin Baru dan Kampung FELDA Air Tawar 3 di Kota Tinggi, Pantai Sekakap, Mersing sebelum ke lokasi terakhir di Laman Kampung Melayu, Kluang.

Pada tahun ini, KMJ memberikan sedikit kelainan apabila tiada sebarang majlis gimik pelepasan seperti diadakan tahun sebelumnya. Rakyat Johor yang tidak berpeluang bertemu Sultan Johor boleh berkungjung di laman Facebook Sultan Ibrahim untuk melihat perkembangan jelajah KMJ 2018.

Sumber: Berita Harian