Tak Puas Beli, Ini Resipi Mudah Buat Ais Krim Mochi

Resipi Ais Krim Mochi

Resipi Mudah Buat Ais Krim Mochi.

Mochi adalah sejenis kuih Jepun yang diperbuat daripada beras, ditumbuk sehingga lembut dan likat, kemudian dibentuk menjadi bulat. Ia lebih kurang seperti kuih onde-onde tetapi inti yang berlainan – selalunya inti mochi adalah kacang merah.

Di negara Matahari Terbit, kuih ini sering dibuat dan dimakan ketika menyambut perayaan tradisional mochitsuki atau perayaan Tahun Baru Jepun. Namun pada hari ini, mochi dijual dan dapat diperoleh di kedai-kedai kuih sepanjang tahun.

Di Malaysia juga ada menjual kuih mochi yang mana kebanyakannya di kedai menjual produk Jepun atau kedai sushi.

Sejak Wall’s mengeluarkan produk mereka iaitu ais krim mochi dengan perisa durian, strawberi dan matcha, ramai yang ingin membelinya tetapi agak sukar kerana tidak semua kedai menjualnya dan harganya pula mencecah RM10 untuk satu kotak yang mempunyai 4 ketul mochi yang kecil molek itu.

Kesedapan ais krim mochi ini membuatkan ia amat sukar untuk didapati. Jadi, daripada bersusah payah untuk mencari ais krim mochi yang dijual di luar sana, anda sendiri boleh membuatnya sendiri di rumah.

Resipi Ais Krim Mochi
Sumber: YouTube

Ikuti resipi ais krim mochi yang amat mudah dilakukan.

Bahan mochi:

50gram tepung pulut
100gram gula pasir
100ml air
1 sudu besar pewarna kesukaan *optional
Tepung jagung secukupnya

Bahan inti:

Apa-apa jenis perisa ais krim kesukaan anda

Cara membuat:

1. Bulatkan ais krim menggunakan scoop khas untuk ais krim mengikut berapa banyak yang anda mahu. Kemudian ais krim tadi di simpan semula dalam peti sejuk beku.

2. Satukan tepung pulut, gula, air dan pewarna. Kemudian kukuskan sehingga teksturnya berubah likat berkilat.

3. Taburkan tepung di atas dulang dan sedikit di atas adunan mochi tadi supaya penggelek tidak melekat ke atasnya. Gelek sehingga rata.

4. Masukkan adunan mochi yang sudah digelek ke dalam mangkuk. Lapik mangkuk dengan plastik untuk memudahkan mochi dikeluarkan.

5. Masukkan ais krim yang disejuk beku tadi ke dalam mochi dan sejukkan selama 30 minit.

6. Siap dinikmati sementara masih dingin!

Resipi Ais Krim Mochi
Sumber: Pepper.ph

Selamat mencuba!

Sumber: Wikipedia