Tepung Punca Sambutan Hari Lahir Bertukar Tragedi

Tragedi Sambut Hari Lahir
Sumber: Shutterstock

Kira-kira 12 daripada 20 orang pelajar Universiti Baptist, Hong Kong melecur pada muka, leher, tangan dan kaki semasa sambutan merayakan hari lahir rakan mereka. Keseronokan yang sementara bertukar menjadi mimpi ngeri apabila serbuk tepung yang dilemparkan meletup pada sekitar tengah malam Khamis.

Pihak penyiasat daripada Jabatan Perkhidmatan Bomba sedang menyiasat sama ada serbuk tepung itu sudah dinyalakan sebelum dilempar seperti kejadian yang berlaku di Taiwan pada tahun 2015 yang menyebabkan kematian 15 orang dan ratusan lagi orang awam cedera akibat daripada semburan tepung kanji jangung yang mudah terbakar.

Tragedi Sambut Hari Lahir

Pihak bomba memberitahu, mereka menerima panggilan sekitar jam 12.54 tengah malam Khamis dan menghantar 7 trak bomba dan 11 ambulan ke tempat kejadian dan mendapati tiada kebakaran. Pihak polis menyatakan mungkin letupan terjadi akibat daripada nyalaan lilin semasa para pelajar melemparkan serbuk tepung ke arah satu sama lain.

Seorang guru pencen bidang kimia memberitahu, serbuk organik seperti tepung boleh terbakar dalam persekitaran oksigen jika kuantitinya besar. Masing-masing dikejarkan pada hospital yang berlainan, seorang pelajar perempuan dilaporkan melecur teruk namun sudah berada dalam keadaan stabil.

4 orang pelajar masih mendapatkan rawatan di hospital pada malam 22 November dan 8 orang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Peratusan melecur yang paling teruk dihadapi oleh mangsa tragedi hari jadi ini adalah 19% dan 10%.

Pihak universiti memberitahu mereka tidak menghalang para pelajar untuk berseronok, namun keselamatan haruslah menjadi perkara utama. Para pelajar yang terlibat diberikan pengecualian dan kelonggaran berkaitan dengan tugasan dan kehadiran ke kelas selain daripada mendapat bantuan kewangan dan kaunseling.

Selepas berlakunya insiden ini, harapnya kita tidak lagi menjadikan tepung sebagai ‘tradisi’ untuk menyambut hari lahir kawan-kawan. Selain daripada membazir, memang membahayakan jika tersalah langkah!

Sumber: South China Morning Post