Teratak Tradisional Di Tengah Hutan Konkrit

rumah tradisional
Sumber: Readr

Di tengah-tengah kota raya yang dikelilingi bangunan pencakar langit, terletaknya sebuah rumah tradisional yang masih terpelihara keaslian struktur seni binanya. Rumah tersebut dinamakan Rumah Penghulu Abu Seman, satu-satunya rumah tertua yang masih utuh mengekalkan seni bina rumah tradisonal Melayu.

rumah tradisional
Sumber: The Star

Rumah tradisional ini dibina sekitar tahun 1910 hingga 1930 yang mana dahulunya dimiliki seorang penghulu Mukim Bagan Samak kampung Sungai Kechil di Bandar Baharu, Kedah.

Pada hari ini, anda tidak perlu bersusah payah merentas ke Kedah untuk melihat rumah tradisional ini kerana Bandar Warisan Malaysia telah mengambil alih untuk memelihara warisan negara dengan memindahkannya ke Kuala Lumpur. Selepas Penghulu Abu Seman meninggal dunia, rumah berkenaan diduduki anaknya, Ibrahim dan akhirnya terbiar dan tidak terjaga hampir 15 tahun selepas anaknya meninggal dunia pada tahun 1980.

Kenapa anda perlu ke Rumah Penghulu Abu Seman?

Anda dapat melihat keseluruhan dalaman rumah yang sudah dibaik pulih bersama perkakas-perkakas zaman dahulu. Walaupun perkakas-perkakas yang terdapat dalam rumah tersebut bukanlah barang asli tetapi ia masih membuatkan kita leka membayangkan kesenian dan budaya orang Melayu zaman dahulu.

rumah tradisional
Sumber: Badan Warisan Malaysia

Rumah tradisional ini mempunyai 3 bahagian penting iaitu Rumah Ibu, Dapur dan Balai yang mana ia tidak dibina secara serentak. Kekisi tingkap dengan motif tersendiri mengikut sudut tertentu berfungsi sebagai pengaliran udara, menjadikan setiap ruang rumah sejuk dan tenang malah mampu melupakan sejenak hiruk-pikuk di luar.

Keunikan ukiran ini mencerminkan bakat pertukangan orang Melayu pada zaman dahulu.

Menariknya, faktor utama struktur senibina rumah ini masih utuh hingga ke harini kerana rumah ini dibina menggunakan bahan kayu berkualiti seperti cengal, meranti dan balau. Anda boleh ke sini dengan lawatan berpandu pada hari Isnin hingga Sabtu (ditutup pada hari Ahad dan cuti am) yang beroperasi pada jam 11 pagi dan 3 petang.

Selain menerokai ilmu tentang budaya Malaysia dan seni binanya bagi pengunjung dewasa, pengunjung kategori pelajar berpeluang menyertai aktiviti bercorak pendidikan. Pengunjung dibawa alami suasana budaya orang tempatan zaman dahulu melalui demonstrasi acara makan dan minum.

rumah tradisional
Sumber: Byline

Tempat ini akan menjadi tarikan rakyat yang mempunyai minat terhadap seni bina tradisional serta pelancong yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang budaya Malaysia. Ia juga tempat yang menarik untuk fotografi bertemakan suasana masyarakat melayu dahulu kala.

Bagaimana untuk kesini?

Alamat: Rumah Penghulu Abu Seman, 2 Jalan Stonor, 50450 Kuala Lumpur.

Untuk info lanjut boleh ke laman Badan Warisan Malaysia.

Sumber: Star 2