Tidak Perlu Risau Untuk Nikmati Ikan Tilapia Di Malaysia

Adakah anda seorang penggemar ikan air tawar contohnya seperti ikan tilapia? Jika ya, maka anda pasti sangat gembira mendengar berita ini.

Ikan tilapia di Malaysia adalah selamat untuk dimakan kerana penternaknya mengikuti Good Agricultural Practice (GAqP) atau pun dalam Bahasa Malaysianya disebut amalan akuakultur baik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi, Program Pemantauan Residu Akuakultur (ARMP) dan Sanitary and Phytosanitary (SPS) yang sentiasa dilakukan bagi memantau aktiviti penternakan ikan tilapia mendapati tiada penggunaan makanan yang dicampur hormon dan agen penggalak untuk memberi tumbesaran yang lebih pantas kepada ternakan dilakukan di Malaysia.

tilapia

Terdapat video yang tular di media sosial mengatakan bahawa ikan tilapia di negara ini mengandungi bahan pencemar karsinogenik dan penyebab kanser selain terdedah kepada antibiotik dan racun perosak.

Munir telah menafikan kandungan video tersebut dengan memberi penerangan bahawa tiada kajian spesifik dan laporan khusus dari badan dan pertubuhan kesihatan awam bahawa mereka yang memakan ikan tilapia yang diberi makanan yang telah diubah suai secara genetik memberi kesan kesihatan kepada yang memakannya.

Menurutnya lagi, penggunaan protein tumbuhan seperti soya dan jagung ginetik untuk menggantikan sumber protein makanan ikan telah mendapat kelulusan pihak berkuasa Norway dan Kesatuan Eropah sejak 20 tahun lalu.

Jadi anda jangan ada rasa was-was lagi untuk menikmati ikan tilapia. Dah disahkan selamat oleh badan berwajib pun.

Sumber: Bernama