Tsunami Di Pulau Anyer, Ini Antara 5 Fakta Mengenai Lokasi Tersebut

Pulau Anyer
Sumber: Paradisoftraveling

Antara Anyer dan Jakarta,
Kita jatuh cinta,
Antara Anyer dan Jakarta,
Kisah cinta tiga malam,
Kan ku ingat selamanya,
Antara Anyer dan Jakarta.”

Sama seperti lirik lagu Sheila Majid, Antara Anyer dan Jakarta, tragedi tsunami yang melanda Selat Sunda 22 Disember lalu akan sentiasa diingati. Secara tiba-tiba tanpa diduga, bencana alam ini terjadi semasa kumpulan pop rock Indonesia, Seventeen mengadakan persembahan benar-benar mengejutkan dunia.

Bencana yang berlaku sekitar jam 9.33 malam di Tanjung Lesung Beach Resort telah menyebabkan kematian salah seorang ahli kumpulan, Bani dan pengurus kumpulan terbabit iaitu Oki.

Ini antara 5 fakta yang anda perlu tahu mengenai Pulau Anyer:

1. Pulau Anyer mempunyai banyak pusat peranginan pantai yang berlatar belakangkan garis pantai berkilauan dari Merak Harbour ke utara Karang Balakong. Aktiviti bersantai sambil melihat matahari terbenam adalah perkara utama yang wajib dilakukan di sini.

2. Juga dikenali sebagai Anjer atau Angier, Pulau Anyer merupakan pelabuhan yang besar pada abad ke-19 namun musnah sepenuhnya akibat daripada letusan Krakatoa pada 1883.

3. Sehingga kini bangunan Rumah Api Cikoneng yang dibina oleh kerajaan Belanda pada 1885 sebagai tanda memperingati korban letusan itu masih teguh berdiri dan pembinaan tersebut merupakan titik permulaan kepada Great Post Road sekitar 1,000 kilometer ke hujung Jawa Timur.

Pulau Anyer
Sumber: Pulau Ayer

4. Terkenal sebagai kawasan pembentukan karang yang dipenuhi ikan tropika, Pulau Anyer menjadi tumpuan pelancong untuk aktiviti seperti menyelam, berenang dalam kawasan air panas, water scooter dan banana boat.

5. Kawasan Pulau Anyer bukan sahaja berdekatan dengan Taman Negara Ujung Kulon yang membolehkan anda berjumpa dengan spesis Badak Jawa yang semakin pupus dan beberapa hidupan eksotik yang lain, tetapi juga melihat secara dekat landskap gunung berapi yang bila-bila sahaja boleh meletus.

Jika anda berhasrat ke sini, pastikan anda luangkan masa sekurangnya 3 atau 4 hari bagi menerokai sepenuhnya kawasan Pulau Anyer untuk kepuasan maksimum. Namun buat masa sekarang anda dinasihatkan agar tidak meneruskan hasrat terbabit demi tujuan keselamatan diri.