Visa Pelancong Arab Saudi: Apa Yang Anda Perlu Tahu

Visa Pelancong Arab Saudi
Sumber: Arab News

Arab Saudi telah mengumumkan buat pertama kali, kerajaan itu melancarkan visa pelancongan baharu yang akan dikeluarkan melalui Konsulat dan Kedutaan Besar Arab Saudi di seluruh dunia pada Jumaat lalu (27 September 2019).

Visa pelancong yang dikeluarkan, tanpa mengira agama pemohon dan tempoh sah laku sehingga 90 hari untuk lawatan berulang kali ke negara itu namun visa terbabit tidak akan dikeluarkan bagi pemohon bukan Islam yang merancang ke Makkah dan Madinah.

Manakala perkhidmatan e-visa ditawarkan bagi tempoh setahun kepada 49 negara di seluruh dunia bermula bulan ini.

Berikut merupakan beberapa perkara yang anda perlu tahu mengenai visa pelancong Arab Saudi:

Berapakah kos visa pelancong Saudi?

Visa tersebut berharga SAR 300 (~RM335.68) dan termasuk yuran insurans kesihatan. Pemohon bawah umur 18 tahun perlu memohon dengan kebenaran penjaga.

Di manakah anda boleh memohon untuk visa?

Para pelancong boleh memohon secara dalam talian untuk e-visa atau mendapatkan visa semasa ketibaan di Arab Saudi. Boleh memohon di laman rasmi visitsaudi.com dan kios elektronik juga disediakan di kawasan lapangan terbang.

Berapa lamakah tempoh visa tersebut?

Visa pelancong membolehkan penginapan sehingga tiga bulan setiap kemasukan dengan pelawat dapat menghabiskan masa sehingga 90 hari setahun di Arab Saudi. Visa ini sah selama setahun dengan kemasukan berulang kali.

Negara manakah yang layak untuk memohon?

Rakyat dari 49 negara di seluruh dunia termasuk Malaysia, China, Jepun, Korea Selatan, Denmark, Sepanyol, Perancis, Itali, Jerman, Kazakhstan, Singapura dan Brunei layak memohon visa pelancong.

Mengapa visa pelancong diperkenalkan?

Arab Saudi pertama kali mendedahkan rancangannya untuk mengalu-alukan pelancong ke negara itu pada Disember 2017. Keupayaan Malaysia membangunkan sektor pelancongan negara berjaya menarik kerajaan Arab Saudi untuk mengadakan hubungan dua hala yang lebih erat dalam sektor pelancongan.

Visa Pelancong Arab Saudi
Sumber: Against The Compass

Apakah peraturan yang perlu dipatuhi apabila tiba di sana?

Kerajaan Arab Saudi akan mengenakan denda terhadap orang ramai yang melakukan 19 kesalahan membabitkan tatasusila dan tingkah, seperti berpakaian tidak senonoh dan mempamerkan kasih sayang di tempat awam. Wanita ke sana diberi kelonggaran untuk berpakaian tetapi perlu sopan.

Antara kesalahan lain yang tersenarai di laman web permohonan visa itu, adalah membuang sampah sembarangan, meludah, dilarang minum alkohol, tidak mengikut giliran ketika beratur, mengambil gambar dan video tanpa kebenaran individu terbabit serta bermain muzik ketika waktu solat.

Visa Pelancong Arab Saudi
Sumber: Gulf Insider

Di manakah pelancong boleh melawat sekitar Arab Saudi?

Hanya umat Islam sahaja yang dibenarkan untuk memasuki Mekah dan Madinah manakala bagi yang bukan Islam boleh melawat lokasi warisan dunia UNESCO di sekitar Arab Saudi seperti Mada’in Saleh di Al-Ula dan daerah At-Turaif di Ad-Diriyah.

Juga boleh melawat ke bandar Jeddah, Al-Ahsa Oasis dan Hail Region yang mempunyai prasasti berusia 10,000 tahun tentang manusia dan haiwan.

Sumber: Mediacorp