Wave Rock, Batu Berombak Tarikan Baru Di Kuala Pilah

Wave Rock

Di Puncak Bukit Baginda, terdapat sebiji batu besar beralun selebar 40 meter ini yang dikenali sebagai Wave Rock. Bertekstur seperti ombak, batu ini mula terkenal sejak Oktober 2018.

Telah menerima kunjungan seramai 1,000 orang sejak dibuka, Wave Rock terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan Batu Kikir. Walaupun sudah lama wujud, namun baru-baru ini Wave Rock menjadi tular dan sering dikunjungi oleh orang luar yang ingin melihat sendiri bongkahan batu unik tersebut.

Wave Rock
Sumber: Youtube Bernama Web TV

Ramlan Ruspan, merupakan anak jati kampung Bukit Baginda berkata, untuk melihat batu ini pengunjung perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi kerana mereka perlu mendaki sekitar 450 meter semata-mata untuk melihat Wave Rock tersebut.

Turut menjadi jurupandu arah kepada individu atau kumpulan yang ingin mendaki, Ramlan turut menyatakan terdapat 4 buah gua yang masih belum diterokai di Bukit Baginda ini.

Turut dikenali sebagai Batu Hidup, kebanyakan pelancong yang datang adalah dari luar negara seperti Perancis, Jepun, United Kingdom, Vietnam dan Filipina. Katanya kawasan yang masih belum diteroka sepenuhnya ini sepatutnya diwartakan sebagai pusat pelancongan serta dijalankan penyelidikan khasnya daripada kerajaan negeri.

Untuk mendaki Wave Rock ini, pengunjung akan dikenakan bayaran RM11 yang mana RM5 adalah permit hutan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dan RM6 dikutip Majlis Pembangunan Komuniti Kampung.

Pada hari minggu, akan ada pegawai perhutanan yang akan menunggu untuk mengutip bayaran di sana, manakala untuk tempoh waktu Isnin hingga Jumaat pengunjung perlu membayar permit di Pejabat Hutan Kuala Pilah.

Sesiapa yang minat mendaki tu, bolehlah cuba ke Wave Rock ini. Sambil mendaki boleh lihat keunikan batu besar tersebut.

Sumber: Astro Awani