Bunga Telang Pewarna Asli Dalam Bahan Makanan Dan Minuman

khasiat bunga telang
Sumber: Brad.erva-doce.info

Pernah terfikir warna nasi kerabu dihasilkan daripada bahan apa? Masyarakat dahulu menghasilkan pewarna nasi kerabu, sajian terkenal dari Kelantan daripada kuntum bunga telang.

Selain memiliki kecantikan warna birunya, manfaat bunga telang atau nama saintifiknya Clitoria ternatea juga banyak memberikan khasiat dalam makanan dan minuman.

Selain nasi kerabu, bunga telang turut digunakan dalam ramuan menghasilkan pulut tai tai iaitu manisan istimewa kaum Peranakan di Melaka. Pulut yang diperbuat daripada beras pulut itu akan direndam bersama air rebusan bunga telang dan kemudian dikukus sebelum dimakan bersama kaya.

bunga telang
Sumber: FriedChillies

Bunga telang banyak digunakan dalam pembuatan makanan dan juga minuman sebagai bahan pewarna semula jadi bagi menggantikan warna sintetik kerana memerlukan unsur warna biru keungunan. Kegunaannya dalam pembuatan makanan sebenarnya memberikan pelbagai khasiat selain untuk kelihatan menarik.

Namun kini, hampir majoriti masyarakat moden Malaysia tidak begitu mengenali kewujudan dan rupa bentuknya.

Di negara barat, pelbagai kajian saintifik dilakukan untuk mengkaji khasiat bunga telang atau dalam bahasa inggerisnya dipanggil sebagai butterfly-pea dan blue-pea. Malah, ia telah digunakan selama berabad-abad di negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan China.

Antara khasiat yang terkandung dalam bunga telang ialah mengandungi antioksida yang tinggi. Bahan antioksida semula jadi ini mampu membantu penyerapan vitamin C dengan lebih efisien untuk membangkitkan kesegeran tubuh badan.

Dalam pembuatan minuman, bunga telang kering juga boleh dijadikan teh biasa seperti teh chamomile yang popular di Amerika Syarikat. Selain kaya dengan antioksida, ia juga membantu mengekalkan kesihatan jantung dan menjadikan kulit anda kelihatan bersinar.

Selain minuman teh kosong yang disajikan secara panas atau sejuk dicampurkan bersama madu, halia, pudina atau buah markisa, bunga telang juga sering digunakan dalam koktel, menghias salad, aiskrim dan sup sebagai hiasan untuk kelihatan lebih menarik.

Paling menarik tentang teh bunga ini ialah kemampuannya untuk berubah warna. Minuman ini akan berubah warna bergantung pada pH bahan yang ditambahkan kepadanya.

Pernah minum Blue Butterfly dari Boat Noodle? Asal warna airnya berwarna biru, kemudian apabila ditambah perisa lemon ke dalamnya, warna air itu berubah menjadi warna ungu. Itu jika dicampurkan dengan cecair asid.

khasiat bunga telang
Sumber: Dr Angel

Manakala jika minuman teh bunga telang itu dicampurkan dengan bunga raya pula, ia akan berubah menjadi merah terang. Teringat eksperimen subjek sains sekolah rendah!

Bunga yang juga menerima jolokan nama sebagai ‘bunga nasi kerabu’ ternyata mempunyai kepelbagaian penggunaan dalam bahan makanan dan minuman disamping mempunyai pelbagai khasiat.

Sumber: Kosmo

*Nak makan buffet percuma di Hotel Intercontinental KL?

Klik link ini: Makan Buffet Secara Percuma Di Serena Brasserie Intercontinental KL