India Kini Memiliki Monumen Tertinggi di Dunia

monumen tertinggi India
Sumber: Indianexpress

India telah merasmikan monumen tertinggi di dunia berukuran 182 meter yang menelan belanja sebanyak 400 juta$ (RM1.7 bilion). Monumen tertinggi di India ini dikenali sebagai Statue of Unity berukuran hampir dua kali ganda berbanding Statue of Liberty, New York sekali gus mengalahkan Spring Temple of Buddha, China yang sebelum ini berada di carta teratas.

monumen tertinggi India
Sumber: Financialexpress

Patung gergasi ini merupakan tugu figura wira kemerdekaan India, Sardar Vallabhbhai Patel (1875-1950) yang diperbuat daripada keluli dan gangsa. “Tugu besi” ini berdiri megah berhampiran Sungai Narmada di negeri Gujarat yang merupakan tempat asal Perdana Menteri Narendra Modi.

Menurut Perdana Menteri India yang keenam belas, pembinaan monumen ini disifatkan sebagai antara usaha untuk mengingati semula para pemimpin yang telah dilupakan. Pembinaan monumen tersebut merupakan tugu memperingati jasa Patel sebagai tokoh yang menyatukan 562 negeri asal di India.

Pembinaan monumen Patel yang berpakaian tradisional itu mengambil masa 33 bulan yang dibina menggunakan 210,000 meter kubik simen, 25,000 tan besi dan 1,700 tan gangsa. Pembinaan ini melibatkan kepakaran 250 orang jurutera bagi merealisasikan tugu yang dilancar pada 31 Oktober 2018, bersempena ulang tahun kelahiran Sardar Patel yang ke-143.

monumen tertinggi India
Sumber:Citymetric

Menariknya, terdapat tiga tingkat di monumen ini iaitu kawasan pameran, mezanin, dan muzium serta taman peringatan. Manakala di tingkat galeri pemandangan, ia boleh menampung sehingga 200 pengunjung yang memperlihatkan pemandangan di sekitar Sungai Narmada. Pada bahagian kaki tugu, ia dilengkapi lif yang boleh memuatkan 26 orang pengunjung dalam satu-satu masa untuk naik ke tingkat paling atas yang berada di bahagian dada tugu.

Kini India bakal menjadi antara negara tarikan pelancongan yang paling gah dengan adanya monumen patung tertinggi di dunia ini.

Sumber: The Times of india, Astro Awani