Ini Cara Buat ‘Dalgona Coffee’ Di Rumah Yang Semakin Trending Di Media Sosial

Cara Buat Dalgona Coffee

Bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam media sosial terutama di aplikasi TikTok, pasti mengetahui begitu tularnya video cara membuat ‘dalgona coffee’ ini.

Dalgona coffee ini pada awalnya trending di aplikasi TikTok, kemudian turut menerima tempias di Youtube. Turut dikenali sebagai whipped coffee (kopi putar), minuman ini dipopularkan oleh warga Korea Selatan dalam rancangan TV Pyunstorang yang mana selebriti bersaing untuk menginovasi resipi dan menu tersebut akan dipasarkan di kedai serbaneka di sana.

Diberi nama ‘dalgona’ bersempena makanan jalanan Korea yang diperbuat daripada gula dan soda penaik (baking soda). Resipi itu telah menjadi trend oleh pengguna TikTok, diikuti oleh komuniti di YouTube dan Instagram, dengan variasi resipi yang dimuat naik dalam talian.

Jadi, dalgona coffee merupakan kopi latte yang dicampur dengan rasa manis snek dalgona. Mudah sahaja rupanya untuk membuat dalgona coffee di rumah. Jom lihat resipinya.

Cara Buat Dalgona Coffee
Sumber: Youtube

Bahan-bahan:

2 sudu besar serbuk kopi
2 sudu besar gula pasir
2 sudu besar air panas
Susu
Ais batu

Cara membuat:

1. Campurkan serbuk kopi, gula dan air panas kemudian kacau sebati dengan pemukul adunan (whisk) sehingga campuran kopi mencapai tahap kepekatan yang diinginkan.

2. Seterusnya, letak ketulan ais batu dan tuangkan susu separuh gelas.

3. Tuangkan campuran kopi tadi ke dalam gelas.

4. Dalgona coffee anda siap dan boleh untuk diminum!

Cara Buat Dalgona Coffee
Sumber: Youtube

Mudah bukan? Ada juga yang pelbagaikan resipi dengan menggunakan serbuk matcha, serbuk koko dan sebagainya mengikut kreativiti masing-masing.

Selamat mencuba!