Kaki Busuk Punca Pencuri Pecah Masuk Hotel ‘Kantoi’

Kaki Berbau
Sumber: Sandi Pointe

Kaki berbau busuk berpunca daripada peluh memang meloyakan sehingga menjatuhkan keyakinan seseorang untuk melakukan aktiviti seharian. Masalah ini juga boleh membuatkan orang sekeliling berasa kurang selesa terutamanya jika baunya ‘menyucuk-nyucuk’ rongga hidung orang sekeliling.

Di China, cubaan seorang lelaki yang dikenali sebagai Yang memecah masuk ke sebuah hotel gagal apabila bau busuk dari kakinya telah menyebabkan tuan hotel terjaga dari tidur.

Kaki Berbau

Melalui rakaman CCTV, Yang terlihat menjinjit kasutnya di lobi dengan tujuan mengelakkan daripada melakukan sebarang bunyi. Namun tanpa dia sedari, bau kakinya yang kuat telah mengejutkan tuan hotel di bilik bersebelahan lobi.

Yang yang perasan kehadiran tuan hotel di ruangan lobi melarikan diri tetapi sempat ditangkap di kawasan parkir. Hasil soal siasat polis mendapati bahawa Yang telah memecah masuk beberapa hotel pada malam tersebut kerana mempunyai masalah kewangan.

Menurut South China Morning Post, jenayah pecah masuk yang ‘kantoi’ disebabkan bau kaki bukanlah yang pertama di China. Awal tahun 2018, seorang lelaki yang dikira profesional dalam bidang jenayah pecah rumah ‘kantoi’ bersembunyi di bawah katil kerana baunya yang kuat telah menyebabkan dia ditemui oleh tuan rumah.

Memang memalukan jika anda ada masalah kaki berbau. Jadi kami kongsikan beberapa tips untuk anda rawat masalah kaki berbau:

1. Rendam kaki dalam air suam yang dilarutkan satu cawan garam selama 20 minit. Lakukan setiap hari selama 2 minggu.
2. Gunakan stokin yang sesuai dan ganti setiap hari. Jika perlu apabila berpeluh, tukarkan stokin kepada yang baru.
3. Amalkan nutrisi yang mengandungi zink seperti makanan laut, bayam, kekacang dan cendawan.

Selamat mencuba. Jika anda ada tips lain yang boleh dikongsikan, bolehlah ke Facebook MakanLena

Sumber: Travel and Leisure