Tip Buat Pisang Goreng Kekal Rangup Walaupun Sudah Sejuk

Tip Pisang Goreng Rangup

Pisang goreng yang sedap mempunyai rasa lemak manis meskipun pisang yang digunakan tidak boleh begitu ranum. Pisang yang ranum akan membuatkan pisang goreng anda lembik.

Pisang goreng terbaik adalah apabila tepung tidak terlalu tebal dan walaupun sudah sejuk ia masih lagi rangup untuk dimakan. Justeru, ini adalah tip buat tepung goreng pisang sentiasa rangup!

Bahan-bahan:

2 cawan tepung beras cap gajah
1 sudu kecil garam
1 biji telur
4-5 ketul ais kiub
1 sudu kecil pewarna kuning, boleh juga guna kunyit kalau suka.
Air yang sejuk
Sedikit kapur makan (dibancuh dengan 1 sudu air)

Cara membuat:

1. Masukkan semua bahan ke dalam bekas kecuali ais batu dan air sejuk. Gaul sebati kemudian masukkan ais dan masukkan air sejuk sedikit demi sedikit. Adunan jangan terlalu cair.
2. Cara nak goreng pula, guna api yang sederhana besar dan pastikan minyak betul-betul panas.
3. Masukkan pisang yang telah disaluti tepung tadi, masa menggoreng, jangan kecilkan api. Biar api dengan tahap yang sama. Bila tepung kelihatan kekuningan, angkat dan toskan minyak. Siap untuk dihidangkan.

Tip Pisang Goreng Rangup

Cara paling mudah untuk pastikan anda mencapai keseimbangan dalam jumlah adunan yang disalut pada pisang adalah dengan menggunakan teknik ‘celup dan goncang’.

Anda hanya perlu celup pisang hingga pisang disalut sepenuhnya dengan adunan dan goncang supaya tiada adunan lebihan pada pisang yang ingin digoreng.

Perkara penting dalam penyediaan pisang goreng yang betul-betul sedap ialah minyak menggoreng mestilah panas. Panas di sini bukanlah hingga tahap berasap kuali tetapi cukup untuk pastikan adunan tepung di luar menjadi rangup dan pisang di dalam lembut dan empuk.

Selamat mencuba!

Sumber: Murai