7 Makanan Wajib Cari Sepanjang Bulan Ramadan Di Bazar

Sumber: VKeong

Tiba sahaja bulan Ramadan, ada jenis-jenis makanan yang akan popular. Bukan kata, pada bulan biasa makanan ini tidak dicari tetapi mungkin setelah menahan lapar selama berbelas jam pada bulan Ramadan menyebabkan aura makanan ini lain macam.

1. Ayam golek

Kalau pada hari biasa, susah untuk kita mencari hidangan ini. Namun bila tiba bulan Ramadan, pastinya akan ada sekurangnya satu atau dua buah kedai yang menjual hidangan ini.

Hidang Popular Bulan Ramadan
Sumber: Iluminasi

Siapa sahaja yang tidak terliur melihat keseksian ayam yang dibakar dalam keadaan tergolek (pusing), kan? Ditambah pula dengan warna coklat gelap kulit ayam yang berkilat-kilat. Fuh, kecur. Tergoda habis iman.

2. Tepung Pelita

Asal tiba bulan Ramadan, ramailah yang akan memastikan kuih ini menjadi hidangan wajib ada di atas meja semasa waktu berbuka. Rasa lemak bancuhan santan dan pandan tambah pula dibalut dengan menggunakan daun pandan atau daun pisang yang semerbak wanginya… Memang penambah selera betul.

Hidang Popular Bulan Ramadan
Sumber: Traveloka

3. Ayam percik

Baru sahaja parkir motor atau keluar daripada kereta, bau yang akan menyapa deria dulu ialah bau ayam percik. Mana tidaknya, bau ayam percik yang dipanggang disalutkan dengan kuah kacang istimewa tambah sikit warna ala-ala emas yang sedikit hangus, memang menguji kesabaran. Kalau tak beli, lepas balik nanti boleh terbayang-bayang sampai esok!

Hidang Popular Bulan Ramadan
Sumber: The Level

4. Martabak

Sebut sahaja martabak, pasti gerai yang menjual makanan ini akan dipenuhi dengan pelanggan pada bulan Ramadan. Tidak tahulah kenapa, martabak dengan bulan Ramadan memang tak dapat dipisahkan. Sama ada dimakan bersama kuah kari atau sirap bawang, nak makan martabak pada bulan puasa memang memerlukan kesabaran yang tinggi.

Hidang Popular Bulan Ramadan

Mungkin kerana penuh dengan isi daging atau ayam, telur serta kentang dalam balutan tepung yang berwarna emas menyebabkan kita kecur air liur kot. Lagi pula dengan lelahan-lelahan minyak di atas kuali leper yang boleh menambah kekecuran. Azab!

5. Air soya

Bukan air soya bancuh atau air soya kotak yang dicari bila ke bazar Ramadan. Tetapi air soya homemade yang masih panas dan berwap menjadi air pilihan utama top list jika ke bazar. Bau air soya yang segar itu sebenarnya memanggil-manggil pengunjung untuk membeli.

Hidang Popular Bulan Ramadan
Sumber: Kerja Sendiri

6. Air tebu

Air tebu kurang laku jualannya jika dibandingkan hari biasa dengan bulan Ramadan. Mungkin kerana mahu berbuka dengan sesuatu yang segar dan fresh made menyebabkan ramai memilih air tebu sebagai hidangan air di meja berbuka.

Hidang Popular Bulan Ramadan

7. Roti john

Walaupun mudah sahaja cara pembuatannya dan boleh dimasak di rumah, roti john tetap laku keras sepanjang bulan Ramadan. Walaupun intinya cuma daging, telur, kentang, sos cili dan mayonis, roti john tetap mampu menaikkan nafsu membeli anda ketika di bazar.

Seiring dengan zaman, roti john ini sudah divariasikan dengan penambahan beberapa isi yang agak rare, contohnya coleslaw, keju dan yang paling terbaru kami jumpa ialah tempoyak!

Walaupun ada diantara penjual roti john yang mengambil kesempatan menipu pelanggan dengan isi roti ‘kosong’, roti john tetap menjadi pilihan pengunjung bazar sepanjang bulan Ramadan.

Hidang Popular Bulan Ramadan
Sumber: Laman Resepi

Kami sudah senaraikan tujuh jenis makanan yang memang dicari ketika bulan Ramadan, tetapi anda boleh sahaja tambahkan senarai makanan melalui ruangan komen di Facebook. Ingat ke bazar, beli makanan yang perlu sahaja. Jangan kerana nafsu, anda membazir.

Selamat berpusa!

Kecur pula tengok sos Chicken Foldover tu.

Review McDonald’s Chicken Foldover & Nasi McD [#MLTapao – MakanLena]

dan jangan lupa subscribe Youtube MakanLena.