Fakta Keropok Lekor Terengganu Yang Sering Disalah Erti

keropok lekor Terengganu
Sumber: Digital Ungu

Setiap nama pasti ada sejarah dan asal usulnya tidak kira nama tempat, orang, produk ataupun makanan. Sebagai contoh, Mi Udang Sungai Dua, Laksa Kuala Perlis dan Bubur Lambuk Kampung Baru merupakan antara nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi sekiranya berkunjung di tempat tersebut.

Turut popular ialah keropok lekor di negeri Terengganu yang turut menjadi santapan makanan ringan rakyat Malaysia. Berkunjung sahaja ke negeri Terengganu, pasti tidak akan melepaskan peluang membeli keropok lekor di sana untuk dibawa pulang kepada keluarga atau rakan-rakan.

Keropok lekor atau lebih dikenali sebagai ‘kepok gote’ dalam kalangan penduduk tempatan, diperbuat daripada ikan dan sagu yang diadun menjadi satu adunan lembut. Kemudian digentel menjadi seperti bentuk sosej dan boleh dimakan sama ada digoreng atau direbus.

keropok lekor Terengganu
Sumber: MIX

Dengan terkenalnya makanan ringan yang berasal dari Terengganu ini, ramai yang salah faham terutama bagi mereka yang bukan berasal atau menetap di negeri pesisir pantai itu.

Ini antara salah faham yang sering berlaku tentang keropok lekor yang dikongsi oleh Legasi Keropok Terengganu.

1. Ramai orang menganggap keropok lekor kecil ialah keropok losong dan yang besar itu keropok lekor.

Losong merupakan nama tempat yang juga menjadi pengeluar keropok lekor terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia berdekad lamanya. Amat menyedihkan, apabila orang luar mula membuat keropok lekor dan menggunakan nama Losong, dan diberi nama untuk keropok lekor kecil.

Jadi tidak hairanlah mana-mana tempat ada papan tulis ‘Keropok Lekor’ dan ‘Keropok Losong’ di luar Terengganu.

2. Ada orang menganggap semua keropok lekor perlu digoreng sebelum dimakan, selain itu dikira mentah.

Di Terengganu, kedai keropok lekor ada sediakan dua jenis keropok lekor, sama ada rebus atau goreng. Kedua-dua cara boleh dimakan dan bukan yang tidak digoreng itu dianggap mentah.

3. Jenis keropok lekor ada tulang dan tiada tulang.

Mungkin ada segelintir pelanggan yang diberitahu ada sesetengah keropok lekor ada tulang dan tiada tulang. Entah bagaimana peniaga luar Terengganu menipu pelanggan.

Sebenarnya, isi ikan telah diasingkan daripada ikan, tulangnya semua dibuang. Jadi tiada istilah tulang sedikit atau banyak kecuali ada sedikit yang kecil terlepas masuk dalam isi ikan yang sudah siap diproses.

Memang bahaya makan keropok lekor ada tulang!

keropok lekor Terengganu
Sumber: Blog Traveloka

4. Orang luar menganggap keropok lekor di Losong sudah tidak sedap berbanding tempat lain.

Mungkin ada sesetengah kedai sudah tidak menjaga kualitinya dan ada juga yang baharu berniaga. Untuk merasai keropok lekor asli di Losong anda perlulah rajin bertanya penduduk sekitar sana mencari keropok lekor yang berkualiti dan masih menggunakan resipi turun temurun.

5. Bintik putih tanda sudah berkulat dan tidak boleh dimakan.

Banyak juga yang sudah menjual keropok lekor sejuk beku, dan ada juga yang membeli banyak untuk disimpan stok satu keluarga tetapi mungkin dalam peti ais tidak sampai seminggu sudah ada bintik putih.

Bintik putih yang ada di keropok lekor itu sebenarnya minyak, mungkin faktor ikan berlemak. Bintik putih itu boleh dicuci, kemudian boleh digoreng dan dimakan seperti biasa tetapi jika terlalu lama simpan dan berbau busuk serta tekstur nampak hancur, elakkan makan, mungkin sudah rosak.

Jadi, bila sudah faham ni, kami nak tanya, keropok lekor Terengganu mana yang sedap pernah anda pergi?

Sumber: Legasi Keropok Terengganu

Canggih dan unik sungguh hotel di China ini, tonton

7 fakta menarik hotel bawah tanah pertama di dunia

dan jangan lupa subscribe Youtube MakanLena.

7 Fakta Menarik Hotel Bawah Tanah Pertama Di Dunia

Power betul China ni. Semua benda pelik-pelik boleh kat dia!

Posted by MakanLena on Monday, January 14, 2019