Penemuan Penyu Berkepala Dua Di Pulau Mabul

Penyu Berkepala Dua Pulau Mabul
Sumber: Borneo Today

Sebut mengenai Pulau Mabul, kita akan terbayang pemandangan pokok kelapa dan kampung-kampung air dengan kebiruan air laut yang mempesonakan.

Pulau Mabul terkenal dengan pelbagai jenis hidupan laut, menjadikannya lokasi impian bagi mereka yang gemarkan aktiviti air untuk melihat spesis ekologi jarang ditemui.

Terbaru, seekor anak penyu hijau berkepala dua yang baru menetas menjadi bualan hangat masyarakat di Pulau Mabul. Fenomena yang dianggap pelik itu berlaku di pusat pembiakan penyu, Mabul Turtle Hatchery yang diurus SJ SEAS iaitu sebuah badan pemuliharaan di bawah Scuba Junkie (SJ).

Pengerusi SJ SEAS, Mohd Khairuddin Riman, berkata ia adalah penemuan pertama sejak melaksanakan kerja konservasi penyu di pulau berkenaan. Pemeriksaan mendapati kedua-dua kepala anak penyu itu bernafas berasingan.

Penyu Berkepala Dua Pulau Mabul
Sumber: Mstar

“Ia juga bertindak secara spontan secara berasingan. Kepala kanan kelihatan mengawal sirip kanan depan, manakala kepala kiri mengawal sebelah kiri. Namun, ia mampu mengawal pergerakan untuk berjalan dan berenang,” kata Pengurus Konservasi yang juga pakar biologi marin SJ SEAS, David McCann.

Menurut seorang ahli akademi di Universiti Malaysia Sabah, Dr Juanita berkata penetasan anak penyu berkepala dua boleh berlaku disebabkan faktor genetik.

“Penyu dua kepala ini dipanggil Bicephaly atau Dicephalism ini jarang berlaku dan faktor genetik mungkin memainkan peranan penting dalam pembentukan penyu berkepala dua ini.

“Kadang-kadang terdapat kesilapan dalam genetik, sama seperti manusia juga kadang ada ketaknormalan pada kromosom,” jelasnya.

Sebelum ini, kes sama pernah dikesan di Pulau Redang, Terengganu pada 2014 namun penyu terbabit mati akibat pneumonia selepas kira-kira tiga bulan ditetas.

Buat masa ini, anak penyu terbabit disimpan untuk pemerhatian oleh ahli biologi dan Warden Kehormat JHLS di Pusat Rehabilitasi Penyu Pulau Mabul.

Sumber: Malaysia Kini, Berita Harian