Kerjasama AirAsia Dan Google Cloud Hasilkan Syarikat Perjalanan Teknologi

AirAsia Google Cloud

AirAsia bekerjasama dengan Google Cloud untuk mengintegrasikan pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan (artificial intelligence atau ML/AI) dalam semua aspek perniagaan dan budaya sebagai sebahagian daripada transformasinya untuk menjadi syarikat perjalanan teknologi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, AirAsia telah menerajui penggunaan teknologi digital baharu sejak penubuhannya pada tahun 2001. Mereka kini berada di fasa pembangunan seterusnya di mana mereka berkembang untuk menjadi lebih daripada syarikat pengangkutan udara dengan mendigitalkan operasi dan prosedur AirAsia supaya lebih cekap.

Google Cloud membolehkan AirAsia untuk menggunakan sepenuhnya data yang mereka miliki, membuka peluang baharu dan membolehkan mereka untuk menubuhkan perniagaan baharu. AirAsia sedang menubuhkan dua platform utama: airasia.com, yang akan menjadi satu platform perjalanan digital di mana para tetamu boleh menempah keperluan perjalanan dari penerbangan, penginapan, lawatan, pengangkutan darat hingga hiburan; dan BigLife, laman gaya hidup mereka yang sama seperti Kayak, Tripadvisor, Groupon dan eBay dalam satu. BigLife mengabungkan semua pelaburan digital di bawah aspek digital mereka iaitu Redbeat Ventures, seperti aplikasi pembayaran BigPay, sambungan dalam penerbangan mereka ROKKI, pasaran dalam talian AirAsia Ourshop dan perkhidmatan logistik mereka Redbox dan RedCargo. Kedua-dua platform ini akan membantu dalam memacu lebih banyak perniagaan kepada AirAsia dengan bantuan data.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud, Diane Greene,AirAsia bermula dengan G Suite untuk mengubah cara organisasi mereka berfungsi, Kini, dengan platform analisis dan perkhidmatan pembelajaran mesin yang lebih maju, AirAsia dapat mendigitalkan setiap aspek perniagaan mereka untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para tetamu.

AirAsia akan bekerjasama dengan Google Cloud untuk menyelesaikan cabaran-cabaran utama dalam perniagaan, termasuk:

  • Memacu peramalan permintaan dengan lebih baik dan pemasaran kepada sasaran yang lebih tepat
  • Memperbaiki pengalaman dan kesetiaan para tetamu dengan memberikan pengalaman yang lebih peribadi kepada para tetamu.
  • Memaksimumkan kecekapan operasi dan mengurangkan risiko melalui ramalan penyelenggaraan, ramalan cuaca secara langsung dan pengoptimuman kakitangan

Kakitangan teknikal AirAsia akan bekerjasama dengan jurutera-jurutera Google Cloud untuk membolehkan mereka menyelesaikan senario perniagaan tertentu serta mempelajari asas AI dengan penggunaan Enjin Pembelajaran Google Cloud seperti Tensor Flow dan Cloud Machine yang terkini. AirAsia juga dapat mendaftar para kakitangan teknikal mereka di dalam program yang digunakan oleh Google Cloud untuk melatih juruteranya, membolehkan syarikat penerbangan itu membina kepakaran dalaman sendiri dalam pembelajaran mesin.

AirAsia juga akan bekerja rapat dengan Google Cloud untuk mendigitalkan dan mengubah cara kerja dan budayanya dengan penggunaan G Suite dan Chrome Enterprise untuk mewujudkan pengalaman digital yang cekap untuk memberikan akses kepada data dan analisis apabila ia diperlukan untuk membuat keputusan dengan lebih pantas dan tepat.

Sumber: Newsroom AirAsia