Kincir Angin Pulau Perhentian Bukan Kawasan Pelancongan

kincir angin Perhentian
Sumber: Arba Travel

Rata-rata yang bercuti ke Pulau Perhentian, pasti akan berkunjung ke kawasan kincir angin di sana. Boleh dikatakan antara lokasi wajib kunjung kepada mereka yang bercuti di Pulau Perhentian.

Walaupun keadaan kawasan Kincir Angin Pulau Perhentian semakin teruk dan membimbangkan yang mana boleh membahayakan nyawa pelancong, masih ada juga pengunjung yang bersiar-siar di kawasan itu.

Menurut laporan, kerajaan negeri Terengganu tidak akan bertanggungjawab ke atas kemalangan pengunjung terutama pelancong ketika mendaki atau menuruni bukit untuk melihat kincir angin di situ.

Ini disebabkan bukit yang menempatkan kincir angin di kawasan Long Beach di pulau peranginan itu bukanlah kawasan pelancongan. Tambahan pula, bukit yang menempatkan sistem hibrid tenaga gabungan empat kuasa dibangunkan kerajaan negeri untuk menghasilkan tenaga elektrik dari kuasa angin itu merupakan kawasan larangan.

kincir angin Perhentian
Sumber: Schmolpin Travels

Kemudahan tangga untuk ke puncak bukit yang menempatkan menara kincir angin itu bukanlah disediakan untuk para pelancong tetapi untuk pegawai dan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan pemantauan selain melakukan penyelenggaraan jika berlaku kerosakan.

Ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menanggalkan papan tanda larangan dan pagar yang diletakkan kerajaan di kawasan itu.

Projek pembinaan kincir angin itu membabitkan peruntukan RM12.6 juta, dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira dua hektar di sebelah utara Pulau Perhentian Kecil, ketika era Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, pada 2006 dan dirasmikan pada September 2007.

kincir angin Perhentian
Sumber: Cuti-cuti Malaysia

Namun, sistem hibrid tenaga gabung empat kuasa itu hanyalah angan-angan sahaja apabila tidak dapat menghasilkan tenaga elektrik dari kuasa angin.

Justeru, jika anda melihat gambar-gambar pengunjung di kawasan kincir angin itu, sebenarnya mereka telah masuk tanpa kebenaran.

Pada pendapat kami, kerajaan negeri perlu melakukan inisiatif bagi para pengunjung memandangkan pemandangan di puncak bukit itu menjadi kawasan tumpuan. Kawasan yang indah, rugilah tidak dikomersialkan.

Sumber: Harian Metro

 

Ada yang dah pernah rasa?

6 Menu Nasi Lemak Unik Di Malaysia

dan jangan lupa subscribe Youtube MakanLena.