Wilayah Lopburi amat terkenal dengan ladang bunga matahari yang amat cantik dan luas. Penanaman bunga matahari di ladang ini mengikut musim disebabkan hayatnya yang semusim sahaja.
Sebelum ke sana, ada beberapa perkara yang perlu anda tahu. Baca perkongsian daripada Kimi Jamai mengenai lima fakta menarik yang perlu anda tahu sebelum mengunjungi Wilayah Lopburi, Thailand ini.
1. Musim Bunga Matahari
Kebanyakkan orang dari Malaysia datang ke Lopburi untuk melihat ladang Bunga Matahari yang memang nyata seluas mata memandang dan memang satu pengalaman yang saya sendiri amat sarankan kepada anda yang travel untuk nature.
Jadi, anda kena lah pastikan timing anda tepat pada waktu bunga matahari ni mekar, matang dan kembang, barulah puas hati tengok! Musim Bunga Matahari adalah bermula November sehinggalah Januari setiap tahun.
Kami pergi tahun lepas pada bulan Disember dan bunga mataharinya memang sedang berkembang molek! Jadi saranan saya, pergi di pertengahan musim untuk jaminan lebih bahawa bunga sudah kembang dan belum kering, Disember adalah yang terbaik!
2. Tarikan di Lopburi
Tarikan utama di Lopburi ni memang sudah jelas adalah ladang Bunga Mataharinya, selain dari itu sebenarnya terdapat juga tinggalan kuil purba yang anda boleh lihat di sekitar bandar Lopburi, antara yang paling popular ialah Prang Sam Yod ataupun turut dikenali sebagai the Monkey Temple, memang banyak gila monyet kat situ. Kepada yang takut monyet, sila berhati-hati ya.
Jika anda bercadang untuk datang ke Lopburi pada hujung November, anda juga boleh sertai Lopburi Monkey Festival yang diadakan pada Ahad terakhir November. Secara peribadi saya sendiri tak pernah sertai festival ni tapi daripada apa yang saya tahu, semasa Lopburi Monkey Festival ini penduduk tempatan serta pelancong akan berikan makanan yang banyak kepada monyet-monyet di sekitar Lopburi.
Itulah tiga perkara yang menjadi tarikan utama di Lopburi. Mungkin tak sebanyak mana tarikannya kalau nak dibandingkan dengan Bangkok, tetapi bagi saya, ada sesuatu yang istimewa tentang bandar kecil Lopburi ni dan amat saya sarankan untuk korang datang sini walaupun sekejap!
3. Berapa Hari Yang Diperlukan?
Semasa trip kami tahun lepas, kami habiskan sekitar dua hari di Lopburi, tetapi, apa yang membuatkan kami habiskan masa dua hari di sana adalah kerana hotel yang kami inap sewaktu di sana. Hotelnya adalah The Paklop Resort, kelebihan utama hotel ni adalah, harga agak murah tetapi dapat penginapan yang sama taraf dengan hotel mewah (di Malaysia).
Dengan harga RM120 (kadar tukaran ketika trip kami tahun lepas), kami dapat sebuah bilik hotel mewah, dengan bath tub, private garden, swimming pool, private parking serta interior design yang memang terasa seperti hotel berbintang bintang di Malaysia.
Jika bukan kerana hotel tu, sehari sebenarnya sudah memadai untuk terokai sekitar Lopburi ni. Mungkin anda boleh jadikan Bangkok sebagai lokasi utama dan Lopburi sebagai salah satu hentian dalam itinerary.
4.Makanan Halal
Kalau dibaca balik catatan trip kami ke Lopburi tahun lepas, konflik utama yang kami hadapi adalah kesukaran untuk mendapatkan makanan halal. Yang kami jumpa hanya dua kedai makanan halal, yang mana satunya hanya buka pada waktu malam pada hari-hari tertentu, dan satu laginya terletak di lorong yang boleh dikatakan agak sukar untuk ditemui.
Mungkin ada lagi kedai makanan halal di sana tetapi berdasarkan bacaan kami di blog-blog, memang majoritinya bercakap mengenai dua kedai ni. Kalau lapar sangat sangat, boleh la alas perut dengan buah-buahan dahulu ataupun ke 7-Eleven yang ada juga menjual makanan halal. Kalau anda cuma pergi separuh hari dan kemudian terus pulang ke Bangkok, tak perlu risau tentang hal ini.
5. Sewa Motor atau Grab atau Songthaew?
Kalau anda bercadang mahu habiskan seharian atau bermalam di Lopburi ni, sewalah motor ya. Senang untuk bergerak ke mana-mana dan kalau lapar tengah tengah malam boleh dengan mudah keluar dan cari 7-Eleven.
Lagi satu, ladang Bunga Matahari yang terkenal kat situ, Jumpee Sunflower Farm berada agak jauh dari pusat bandar Lopburi, jadi kalaulah korang naik Songthaew, kena pastikan Songthaew tu tunggu sampai korang habis aktiviti dekat ladang tu, sebab saya percaya susah untuk dapatkan Songthaew di kawasan sekitar itu.
Untuk Grab pula, buat masa ini memang Grab belum sampai ke daerah Lopburi ni. Jadi, boleh letak tepi dulu aplikasi Grab tu ya.
Untuk sewa motor boleh sewa di NooM Guesthouse dengan bayaran 300 Bhat (RM40) sehari. Proses sangat mudah dan cepat, kondisi motor pun tiptop! Kalau ada bajet lebih dan datang dalam kelompok yang ramai, sewa terus van dari Bangkok buat pusing-pusing Lopburi ni okey! Selesai masalah.
Jadi sesiapa yang berhasrat nak melawat ladang bunga matahari di Lopburi, Thailand bolehlah mengikuti tip di atas.
Selamat bercuti!
**Artikel ini adalah hasil sumbangan daripada pemilik Chasing The Sun, Kimi Jamai. Untuk ikuti blog CTS, anda bolehlah lawati laman Facebook mereka di SINI.
.