Hati-Hati, Jangan Beli Sardin Daripada Dua Jenama Ini

Hati-hati! Sebagai pengguna anda perlu tahu sardin daripada dua jenama ini; TL Tan Lung dan TLC diarah untuk ditarik balik dari pasaran atas faktor tidak selamat untuk dimakan.

Sardin sos tomato ini ditarik kerana mengandungi sejenis cacing yang boleh membawa mudarat jika anda memakannya. Kedua-dua sardin ini adalah produk yang diimport daripada negara China dan tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin.

“Pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran sentiasa dilakukan dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kedua-dua sardin ini menjadi pilihan pengguna kerana harganya yang lebih murah jika dibandingkan dengan jenama-jenama sardin lain yang berada di pasaran.

Jika anda peminat setia roti canai sardin di mamak, lihat dahulu sardin yang mereka gunakan. Jika guna dua jenama ini, mungkin anda boleh buat pesanan roti canai yang lain.