Pentingnya Bawa Garam ORS Ketika Aktiviti Meredah Hutan

Jika anda menyertai atau melakukan aktiviti perkhemahan, menyusuri hutan atau lebih dikenali sebagai jungle trekking adalah satu aktiviti wajib dilakukan apabila berada di dalam hutan.

Jungle trekking adalah aktiviti meredah hutan yang sering dilakukan secara berkumpulan dan juga solo. Sememangnya, aktiviti ini memerlukan individu yang mempunyai kecergasan ataupun kesihatan fizikal.

Bagaimanapun, jika seseorang individu dalam sesebuah kumpulan atau anda sendiri mengalami kejadian yang tidak diingini seperti kekejangan otot kaki, pasti mengubah mood sepanjang aktiviti itu.

Masalah itu dapat diatasi dengan meminum air campuran Oral Rehydration Salt (ORS). Kita sering mendengar, ORS digunakan untuk menampung kembali tenaga yang terhidrat akibat cuaca panas demi mencegah terjadinya strok haba dan mereka yang mengalami cirit-birit atau muntah.

Namun, ORS juga mampu mengurangkan risiko seseorang itu mengalami kaki kejang. Menurut perkongsian Latif Saad di Facebook, beliau memberitahu dalam kajian yang dibaca didapati pengambilan air yang banyak ketika senaman boleh meningkatkan risiko seseorang itu menglami kaki kejang.

ORS Jungle Trekking Elak Kaki Kejang
Sumber: Farmasi Marmin

Ini disebabkan apabila seseorang itu berpeluh dengan banyak, ia akan mengeluarkan garam daripada badan. Ketika air kosong diminum, ia akan menyebabkan kepekatan garam dalam badan berkurangan dan ini menyebabkan penghantaran maklumat daripada saraf terjejas hingga mengakibatkan kekejangan otot berlaku.

“Kesimpulannya, jika anda pergi jungle trekking, elakkan daripada mengambil air minuman dengan kadar yang banyak dan bawalah ORS untuk persediaan jika ada sesiapa yang mengalami kekejangan kaki,” tulis Latif Saad.

ORS ialah rawatan yang berkesan, mudah dan murah. Pastikan anda ada menyimpan pek ORS di rumah untuk kegunaan semasa kecemasan.

Sumber: Latif Saad, Farmasi Marmin