Aktivitis Jerman Sanggup ‘Menyelam Sampah’ Demi Bantu Kurangkan Pembaziran Makanan

Dek kerana terlalu kaya dengan makanan, ramai individu yang melihat pembaziran makanan bukanlah satu isu yang besar. Hakikatnya, pada mereka yang kurang berkemampuan seboleh-bolehnya pembaziran makanan adalah perkara yang mereka elakkan.

Malah ada juga yang sanggup memakan makanan yang sudah lama tamat tarikh luputnya sehinggakan yang paling ekstrem mencari makanan di tempat pembuangan makanan untuk mengisi perut.

Di Jerman, data sisa makanan yang dibazirkan mencecah sehingga 11 juta tan setahun. Pihak World Wide Fund for Nature (WWF) percaya bahawa jika ditambah dengan sisa agrikultur, kadar itu boleh mencecah sehingga 18 juta tan setahun!

Pembaziran makanan 1
Sumber: Herald Sun

Mengambil inisiatif berkenaan isu ini, aktivis-aktivis NGO cuba ‘berperang’ melawan pembaziran makanan dengan cara ‘menyelam’ ke dalam tong sampah di belakang pasar raya di Jerman semata untuk mencari sisa makanan yang masih elok namun sudah dibuang kerana tidak boleh dijual kepada pelanggan.

Dengan memakai topeng muka dan berbekalkan dengan lampu di kepala, aktivis ini giat menjalankan kegiatan mereka. Di Jerman perbuatan mengambil makanan tidak terjual yang berada dalam keadaan baik dari tong sampah adalah dilarang, oleh sebab itulah aktivis-aktivis ini perlu ‘laju’ dalam menjalankan tugas mereka.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dituduh dengan tuduhan mencuri dan dikenakan denda sehingga ratusan dolar; walaupun ianya dikutip dari tong sampah (secara jelasnya sudah dibuang). Januari lalu, dua orang pelajar ditahan dengan tuduhan mencuri dari tong sampah pasar raya dan dikenakan hukuman lapan jam melakukan kerja sosial selain daripada perlu membayar denda sebanyak 225 euro (+-RM1,061.63).

Seorang pelajar Ijazah Sarjana Fizik yang hanya mahu dikenali sebagai Andrea memberitahu beliau menyertai aktiviti ini bukanlah kerana kekangan ekonomi, namun ianya lebih kepada mahu melawan sistem yang didasarkan dengan pembaziran. Ini kerana masyarakat di sana lebih memilih untuk membuang makanan daripada memberikannya secara percuma.

Pembaziran makanan
Sumber: Rob Green Field

Walaupun pekerjaan ini merupakan sesuatu yang berisiko, masih ramai yang memilih untuk melakukannya dengan harapan mereka dapat memberikan tekanan kepada industri untuk mengambil tindakan bagi menghentikan pembaziran makanan di sana.

Mereka mengharapkan bahawa adanya undang-undang seperti di Perancis akan dilaksanakan di Jerman yang mana pasar raya lebih daripada 400 meter persegi (4,300 kaki persegi) yang melakukan pembaziran makanan akan dihalang daripada meneruskan operasi.

Awal Mei lalu, panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menerbitkan satu laporan berkenaan dengan pembaziran makanan dan menyatakan bahawa salah satu peningkatan dalam pengeluaran karbon adalah daripada aktiviti tersebut.

Sekiranya, tabiat pembaziran makanan dapat dikurangkan dalam kalangan masyarakat dunia, ianya dapat membantu 10 bilion orang di dunia untuk makan pada tahun 2050.

Tahukah anda, di luar negara ada yang menjadikan aktiviti ini sebagai punca mereka mencari rezeki selain daripada mampu membantu mengurangkan hampir separuh daripada kos perbelanjaan makanan harian mereka?

Di Malaysia bagaimana? Kita sendiri bagaimana? Masih lagi dengan tabiat membazir makanan?

Sumber: Free Malaysia Today

Bukti orang Malaysia ini kreatif.

6 Menu Nasi Lemak Unik Di Malaysia

dan jangan lupa subscribe Youtube MakanLena.