
Pendekatan membina pendapatan melalui perniagaan memang sinonim dengan rakyat Kelantan. Kita boleh lihat disekeliling kita sendiri, rata-rata memang ramai peniaga berasal dari Kelantan walaupun berada di Johor.
Di Kota Bharu, sinonim sebagai masyarakat yang rajin berniaga, kaedah perniagaan dengan cara menjaja di jalan-jalan utama sekitar bandar raya ini semakin dipraktikkan oleh peniaga tempatan negeri ini.
Menurut sumber Malaysiakini, berbekalkan produk berasaskan makanan dan minuman, didapati kebanyakan peniaga terlibat adalah golongan belia dan beliawanis dengan mensasarkan pengguna jalan raya sebagai pelanggan mereka.
Antara produk yang dipasarkan di jalanan adalah seperti etok (sejenis siput sungai), minuman teh ais, burger, kopi, kerepek, bebola daging dan makanan ala barat.
Ada diantara peniaga ini adalah daripada bakal graduan dan juga mereka yang pernah sepenuh masa di pejabat namun mengambil keputusan untuk berhenti kerana tekanan kos sara hidup yang tinggi dan hasil jualan di jalanan lebih tinggi berbanding ketika makan gaji.
Namun, langit tidak selalu indah. Cabarannya tetap ada. Antara halangan yang dihadapi oleh mereka adalah seperti menahan cuaca panas dan lebatnya hujan. Ada juga di kalangan pelanggan yang mengambil kesempatan untuk bergurau, mereka panggil tapi bila peniaga ini bergerak ke kenderaan mereka sebenarnya tak mahu beli pun.
Proses menjaja diberi tumpuan ketika waktu kemuncak dan berhampiran lampu isyarat jalan-jalan utama. Biasanya mereka akan bermula sekitar jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang, kemudian pada waktu orang balik kerja sekitar jam 5 hingga 6 petang. Mereka akan pastikan proses menjaja itu dibuat ketika lampu isyarat di persimpangan jalan berwarna merah. Apabila kenderaan berhenti, barulah mereka akan berjalan sambil membawa minuman ini. Buat masa ini juga mereka jalankan perniagaan ini di kawasan lampu isyaratnya yang ambil masa agak lama untuk bertukar warna. Jadi pelanggan dan mereka tidak terlalu tergesa-gesa.
Sumber: Malaysiakini