Roti Canai Dan Capati Tiada Logo Halal Diserbu

Syarikat yang mengusahakan doh roti canai dan capati tanpa logo halal sejak sembilan bulan lalu telah diserbu pihak berkuasa di Setia Alam, Shah Alam.

Syarikat yang diusahakan oleh lelaki tempatan berusia dalam 30-an itu menggunakan logo halal pada kotak pembungkusan yang tidak pernah dululuskan sijilnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Doh roti itu dipercayai diproses menggunakan mesin di kedai sama sebelum dibungkus dan diedarkan ke pasaran sekitar Selangor.

Untuk roti canai yang mengandungi 100 doh, harga dalam RM20 sekotak dan untuk capati yang mengandungi 30 doh, harga sekotak adalah RM10.

Kegiatan mereka berjaya dihidu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan menyerbu premis mereka. Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azman Adam berkata serbuan dilakukan hasil daripada maklumat daripada orang ramai mengenai penggunaan logo halal tanpa kebenaran pada bungkusan produk syarikat berkenaan.

Didapati lapan pekerja warga asing berada di dalam premis dan menemui sebanyak 1,772 kotak pembungkusan doh roti canai dan capati yang tertampal logo halal JAKIM.

Mereka juga turut menemui 60 kotak berisi 6,000 doh roti canai dan 12 kotak berisi 360 doh capati yang dianggarkan berjumlah RM3,063. Semua barangan ini dirampas mengikut Perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan 2011 (Perakuan & Penandaan Halal) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu penggunaan logo halal tanpa kebenaran.

Sumber: Harian Metro