5 Premis Kotor Kuala Langat Diarah Tutup

Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah mengarahkan penutupan lima buah premis makanan di daerah Banting hari ini.

Arahan penutupan selama dua minggu telah dikeluarkan kerana premis di sekitar Sijangkang dan Teluk Panglima Garang didapati kotor ketika operasi pemeriksaan dijalankan oleh pegawai MDKL dan juga pegawai kesihatan daerah pagi ini.

Menurut Penolong Pegawai Kesihatan Alam Sekitar MDKL, Noor Hayati kesemua premis telah diarahkan tutup mengikut Peraturan 62, Undang-Undang Perlesenan Makanan (MDKL) 2007. Mereka turut menjumpai serangga perosak seperti lipas, tidak melakukan suntikan kepialu dan tidak mematuhi langkah-langkah kebersihan.

Kesemua premis telah diberikan tempoh 14 hari bagi melakukan proses pembersihan dan penambahbaikan seperti diarahkan.

Pelbagai alasan telah diberikan oleh pemilik premis seperti mereka mengatakan bahawa bangunan yang diduduki mereka telah usang, mereka baru sahaja mula buka perniagaan selepas cuti panjang, tidak cukup pekerja untuk melakukan proses pembersihan dan banyak lagi. Namun, pihak MDKL tetap komited tentang proses penjagaan kebersihan di premis makanan dan tidak akan berkompromi terhadapnya.

Sumber: Harian Metro