
Bagi mereka yang ingin mencuba aktiviti main ski (atau saja-saja nak main salji), terdapat 6 destinasi popular di Korea Selatan yang sering mendapat kunjungan ramai.
Jangan risau jika tiada pengalaman atau tidak mahir langsung bermain ski. Memanglah, rata-rata penduduk di Malaysia memang tak pandai main ski pun, kan?
Tetapi, di pusat peranginan ski yang terdapat di Korea Selatan ini, kebanyakannya adalah kawasan percutian dan pelancongan keluarga yang turut menyediakan kemudahan main ski mengikut kemahiran.
Sesiapa pun boleh mencuba untuk bermain ski di sini, tidak mengira peringkat umur atau tahap kemahiran, dari yang baru nak berjinak-jinak, sehinggalah yang sudah pro pun boleh.
Baca juga: Hati-Hati! Ribuan Pelanggan Hotel Korea Selatan Jadi Mangsa Rakaman ‘Live’
Daerah Gangwon-do merupakan lokasi paling popular kerana wilayah ini merupakan antara kawasan yang paling banyak menerima salji.
Musim untuk aktiviti main ski di Korea Selatan khususnya di Gangwon-do ini selalunya bermula pada bulan Disember sehingga awal Mac. Namun, ianya masih juga tertakluk kepada perubahan cuaca.
Jadi, bagi mereka yang ingin merasa pengalaman bermain ski, bolehlah mula merancang untuk bercuti bersama keluarga di Gangwon-do.
6 lokasi paling popular untuk main ski di daerah Gangwon-do adalah seperti berikut:
1) Phoenix Pyeongchang Snow Park, Pyeongchang.

Terdapat kursus bermain ski di sini bagi mereka yang baru nak belajar. Bagi yang profesional pula, bolehlah mengasah kemahiran di Extreme Park yang menawarkan kemudahan mengikut piawaian sukan Olimpik.
2) Yongpyong Ski Resort, Pyeongchang.

Inilah resort ski pertama yang dibuka di Korea Selatan. Terdapat juga kemudahan gondola sepanjang 7.4km bagi membawa pengunjung pergi dan balik menerokai kecerunan kawasan bermain ski mengikut kemahiran.
3) Vivaldi Park Ski World, Hongcheon.

Terdapat 12 cerun dengan bentuk liku-liku yang berbeza dan diberi nama unik seperti Hip-Hop, Techno dan Funky bagi menarik lebih ramai golongan muda. Turut disediakan ialah kemudahan papan luncur salji bagi mereka yang inginkan kelainan.
4) Alpensia Ski Resort, Pyeongchang.

Terletak kira-kira 700m dari paras laut, keluasan Alpensia boleh memuatkan 3,000 orang pada satu-satu masa. Ianya amat sesuai untuk aktiviti keluarga bermain papan luncur salji dan kereta luncur salji jarak jauh. Di sini juga merupakan tempat berlangsungnya Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018.
5) Elysian Gangchon Ski Resort, Chuncheon.

Pengunjung boleh menaiki kereta api bawah tanah dari Seoul untuk sampai ke destinasi ini dengan perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam sahaja. 10 cerun disediakan mengikut tahap kemahiran di samping turut menyajikan pemandangan yang sangat indah.
6) High1 Ski Resort, Jeongseon.

Resort ini dikenali sebagai salah satu pusat peranginan ski yang mesra Orang Kelainan Upaya (OKU). 18 cerun ski ditawarkan untuk pelbagai tahap pemain ski. 2 daripadanya pernah digunakan dalam pertandingan ski peringkat Piala Dunia.
Sumber: mStar