Jual Roti Canai Pada Harga 50 Sen, Ramai Persoal Tindakan Peniaga Ini

Ketika harga barang pada waktu ini sedang rancak naik, tindakan peniaga ini yang menjual roti canai pada harga hanya 50 sen sekeping dilihat sebagai memang tak masuk akal.

Ramai yang mempersoalkan apakah yang menyebabkan beliau berani meletakkan harga roti canai sampai sebegitu murah.

Tidak kurang juga yang mengecam dan mengkritik tindakan beliau khususnya peniaga lain yang menganggap beliau sengaja ‘membuang harga’ bagi melariskan jualan.

Apakah sebab sebenar peniaga ini sanggup menjual roti canai pada harga 50 sen sedangkan rata-rata peniaga menjualnya sehingga RM2.50 sekeping, malah ada yang pernah ‘terjumpa’ sampai RM4.00 di Langkawi?

“Ada sebab saya jual roti canai murah. Pertama, saya niatkan atas nama anak saya, Allahyarham Mohd Syafiq Najmuddin yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di kawasan ini ketika menghantar piza yang dipesan pelanggan pada 2019,” jelas Rohaizan Hassan, 51 yang mengusahakan gerai roti canai di Chendering, Kuala Terengganu.

“Kedua, saya mengenangkan nasib orang-orang yang kurang bernasib baik, ada anak ramai tetapi tidak mampu nak berbelanja lebih untuk beri anak-anak makan lebih-lebih lagi dalam tempoh yang sukar ketika ini,” tambah beliau lagi.

Dua jawapan dari beliau berikut memang cukup padu dan memang mampu membuatkan sesiapa sahaja terdiam dan terkedu.

Baca juga: Mulanya Sekadar Suka-Suka, Roti Canai Berbentuk Ular Ini Dapat Sambutan Ramai

Memanglah tidak wajar untuk menyamakan harga roti canai di restoran mamak yang terletak di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur dengan gerai di tepi jalan sebuah perkampungan di Kuala Terengganu.

Tetapi, niat Rohaizan yang ikhlas dan hanya ingin membantu serta lebih mengutamakan nasib mereka yang kurang berkemampuan ketika ini memang patut dipuji.

Foto Sinar Harian
– Foto Sinar Harian

“Walaupun harga barang mahal saya tetap boleh jual murah kerana saya berniaga di tepi jalan, tidak perlu keluarkan modal untuk menyewa premis sebab itu tiada sebab untuk saya jual mahal,” kata beliau yang berniaga roti canai tanpa mengira untung besar sejak tahun 2000 lagi.

Selain dari roti canai, gerai Rohaizan yang dibuka mulai 8.30 sehingga 11 pagi setiap hari turut menyediakan beberapa menu lain seperti roti telur, roti planta, roti bawang, roti sardin, roti kahwin, roti pisang, roti milo dan banyak lagi pada harga 50 sen sehingga RM2.50 sahaja.

Respek! Semoga dimurahkan rezeki. Jom support peniaga macam ni!

Sumber: Sinar Harian