
Sejak kebelakangan ini, trend menu makanan yang pedas melampau dilihat semakin popular dan menjadi-jadi serta mendapat sambutan menggalakkan dari orang ramai.
Tidak dinafikan, sudah menjadi kebiasaan bagi rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, memang sukakan makanan yang pedas-pedas, kan?
Tapi, trend makanan pedas melampau yang sering digunakan dalam kempen pemasaran seperti ‘3 kali lebih pedas’, ‘cabaran berani Ghost Pepper’, ‘pedas giler’, ‘extra hot’, ‘pedas kaw’ dan banyak lagi tanpa disedari mungkin boleh menyebabkan kemudaratan kepada si pemakan.
Baca juga: 5 Jenis Cili Tahap Pedas ‘Giler’ Di Dunia
Perkara ini didedahkan oleh seorang doktor perubatan iaitu Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan melalui beberapa siri ciapan di akaun Twitternya baru-baru ini.
“Saya rasa, dah tiba masanya kita hentikan trend menu makanan pedas melampau, dan cabaran makan makanan pedas. Ia trend yang boleh menjejaskan kesihatan,” rayu Dr. Kamarul.
“Siapa yang tanam anggapan ini? Kitalah! Kita yang menyemai persepsi itu melalui media sosial, dibantu oleh industri makaman dan minuman, sama ada perusahaan kecil mahupun syarikat gergasi. Berlawanan-lawan nak keluarkan menu yang paling pedas!” ujar beliau lagi.
Menurut Dr. Kamarul, makanan yang terlalu pedas dan sering dikunyah laju-laju serta ala kadar adalah tidak bagus untuk proses penghadaman dan pencernaan.
Enzim amilase dari air liur yang bertindak untuk menguraikan kanji kepada unit karbohidrat yang lebih kecil tidak dapat berfungsi dengan betul dan ini pastinya merugikan kerana zat dari makanan yang dimakan juga tidak dapat diperolehi sepenuhnya.
Minum air dengan terlampau banyak semasa dan selepas makan makanan yang pedas pula lebih cenderung menyumbang kepada amalan mengisi perut melebihi kapasiti maksimum.
“Makan lebih kapasiti, serta makanan pedas ini menyumbang kepada faktor yang menyebabkan gastroesophageal reflux disease (GERD), iaitu kondisi dimana asid melimpah ke esophagus. Ia menyebabkan pedih ulu hati dan sendawa berasid,” jelas Dr. Kamarul.
Selain itu, makan makanan yang terlampau pedas juga dikatakan akan lebih memudaratkan lagi buat mereka yang pernah mengalami masalah keradangan perut (gastritis), ulser perut dan buasir.
Beliau turut meluahkan rasa kesal dan kecewa kerana masih ramai yang suka menyahut cabaran-cabaran tidak berfaedah sebegini kononnnya untuk dianggap hebat dan dipandang cool.
“Sampai ada pelanggan yang sakit perut berguling-guling, cirit-birit berterusan, dan buasir berdarah. Jadi, kita jugalah yang bertanggungjawab untuk hentikan benda ni. Tak usahlah buat cabaran-cabaran tu semua lagi.”

Dr. Kamarul merupakan seorang doktor perubatan dan juga penyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Greatlife Physio & Rehabilitation.
Beliau juga merupakan seorang penulis ilmiah dan fiksyen, ahli badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MedTweeet.MY (MTM) dan ahli Medical Mythbusters Malaysia.
Untuk lebih tweet kesihatan yang berguna, jadilah antara 57 ribu followers Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan di Twitter @dr_chaku.