Cengkerik Eco Park – Produk Pelancongan Baharu Negeri Perak

Perak telah memperkenalkan Cengkerik Eco Park bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa dalam usaha merancakkan lagi ekonomi tempatan.

Cengkerik Eco Park terletak di Taman Herba Gopeng, Perak iaitu kira-kira 185km dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Beberapa tarikan menarik ditawarkan untuk seisi keluarga seperti taman permainan eko, petting zoo, perpustakaan digital, rumah burung, rumah ular dan tapak perkhemahan.

Mereka yang gemarkan aktiviti lasak pula boleh mencuba aktiviti memanah, aktiviti berkayak dan juga aktiviti memandu kenderaan all terrain vehicle atau ATV.

Baca juga: Gopeng Glamping Park, Lokasi Sesuai Untuk Penggemar Aktiviti Lasak

Minggu lalu, telah diadakan program Festival Street Cat 2021 atau Festival Kucing Jalanan 2021 yang mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Program ini telah dianjurkan oleh Meow Foodtruck yang menyediakan pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik untuk para penggemar kucing.

Foto Facebook @cenkerik.ecopark
– Foto Facebook @cenkerik.ecopark

Di antaranya ialah pertandingan Kucing Kurang Upaya, Kucing Berhias, Kucing Unik dan Kucing Makan Paling Laju.

Dalam acara Kucing Kurang Upaya dan Kucing Makan Paling Laju, Mohamed Shahrizzal Mohamed Tajuddin bersama kucingnya, Boy berjaya terpilih menjadi pemenang setelah menewaskan peserta lain dalam persaingan yang cukup sengit.

Isteri beliau, Nur Fadzilah Jamri dengan seekor kucing yang bernama Jendoi pula berjaya memenangi acara Kucing Paling Berhias.

Foto Utusan Malaysia
– Foto Utusan Malaysia

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Cengkerik Eco Park mampu merancakkan lagi industri pelancongan negeri dan menambah nilai kepada aktiviti yang terdapat di Gopeng khususnya untuk kluster Geopark Lembah Kinta.

“Cengkerik Eco Park ini berada di dalam satu kawasan yang selamat untuk anak-anak bermain selain beberapa lagi aktiviti lain di sini,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kucing Jalanan 2021.

Menurut beliau lagi, program seperti ini wajar mendapat sokongan orang ramai dalam sama-sama menangani isu haiwan jalanan dan peliharaan termasuk anjing serta kucing.

Disarankan agar pihak pengurusan Cengkerik Eco Park dan kerajaan negeri dapat memperhebatkan lagi promosi di masa akan datang agar produk pelancongan baharu negeri Perak ini sampai ke pengetahuan orang ramai.

Jangan sampai ‘Cengkerik’ tinggal jadi ‘krik krik’.

Sumber: Utusan.com.my