Lebih Besar Dari 1 Utama, Pusat Beli-Belah Terbesar Di Malaysia Ini Dijangka Siap 2022

Menurut Wikipedia, 1 Utama Shopping Centre merupakan pusat beli-belah terbesar di Malaysia pada ketika ini dengan luas lantai 2.19 juta kaki persegi.

1 Utama juga merupakan antara 10 pusat beli-belah terbesar di dunia dengan luas keseluruhan melebihi 5.5 juta kaki persegi dan mengandungi lebih 700 premis perniagaan.

Baca juga: WINDLAB Indoor Skydiving 1 Utama Tawar Simulasi Terjunan Udara Pada Ketinggian 14,000 Kaki

Namun, tidak lama lagi, takhta kejuaraan tersebut bakal dirampas oleh salah satu lagi pusat beli-belah yang mencatatkan keluasan yang lebih besar.

Adakah ianya Mitsui Shopping Park LaLaport, Bukit Bintang? Atau The Exchange yang terletak di TRX? Mungkin juga 118 Mall yang terletak dalam bangunan kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118?

Jawapannya ialah IOI City Mall yang terletak di IOI Resort City, Putrajaya.

Foto The Star
– Foto The Star

IOI City Mall yang telah dibuka sejak 2014 sebenarnya telah memulakan kerja-kerja pembinaan menaik taraf Fasa Kedua sejak 2018 lagi dan dijangka siap pada suku kedua tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Berhad, Datuk Voon Tin Yow berkata, pembinaan ICM II (IOI City Mall Fasa Kedua) berjalan dengan baik, walaupun terdapat banyak penangguhan dan kelewatan akibat pandemik.

Sebaik saja siap nanti, ICM II akan memberikan tambahan luas lantai yang boleh disewa sebanyak 1 juta kaki persegi lagi dan seterusnya bakal dinobatkan sebagai pusat beli-belah terbesar di Malaysia.

Ini menjadikan luas lantai keseluruhannya sebanyak 2.5 juta kaki persegi mengatasi 1 Utama (2.19 juta kaki persegi), Sunway Pyramid (1.7 juta kaki persegi) dan Mid Valley Megamall (1.82 juta kaki persegi).

ICM II juga bakal menempatkan dewan pameran seluas 40,000 kaki persegi, pawagam IMAX, arked makan moden, pusat sukan atas bumbung dan gimnasium baharu.

Mudah diakses dari 6 lebuh raya utama, lokasi ICM II juga hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebelum ini, 1 Utama turut dinaik taraf mengikut fasa selepas pembukaannya pada 1995 (Old Wing), 2003 (New Wing) dan 2018 (1 Utama E).

Untuk memintas balik dan kembali menjadi pusat beli-belah terbesar di Malaysia lagi, terpaksalah 1 Utama terokai habis kawasan sekitar Mutiara Damansara sehingga ke Penchala pula selepas ini.

Sumber: The Star, Prestige