WINDLAB Indoor Skydiving 1 Utama Tawar Simulasi Terjunan Udara Pada Ketinggian 14,000 Kaki

Mereka yang berani dan ingin mencuba aktiviti terjun udara atau skydiving boleh mengunjungi WINDLAB Indoor Skydiving yang terletak di pusat membeli-belah terbesar di Malaysia, 1 Utama.

WINDLAB Indoor Skydiving yang dahulunya dikenali sebagai AirRider Indoor Skydiving menawarkan pengunjung 1 Utama untuk merasai sendiri bagaimana pengalaman terjun udara pada ketinggian 14,000 kaki.

Wow! Tak perlu susah-susah nak terbang tinggi-tinggi naik kapal terbang, di 1 Utama pun boleh kalau nak cuba pengalaman skydiving.

Foto Facebook @WINDLAB.IndoorSkydiving
– Foto Facebook @WINDLAB.IndoorSkydiving

Sejak 2018 lagi, ramai yang telah mencuba aktiviti ini yang sesuai untuk individu atau pun dilakukan secara berkumpulan.

Pengunjung juga boleh membuat tempahan awal untuk meraikan majlis hari jadi, rombongan sekolah atau pun juga aktiviti rekreasi korporat.

Simulasi terjunan udara pada ketinggian 14,000 kaki dapat dialami ketika pengunjung berada di dalam terowong kaca udara berdiameter 12 kaki dengan ketinggian 32 kaki.

Lantai trampolin yang diperbuat daripada keluli tahan karat berkualiti pesawat dengan kelajuan angin sehingga 250km sejam akan menghasilkan kusyen udara dan pengujung akan terapung-apung di udara.

Baca juga: Dua Lokasi Popular Di Selangor Untuk Mencuba Aktiviti ‘Paragliding’

Kalau takut atau macam tak yakin tu, jangan risau sebab jurulatih profesional memang sentiasa menemani dan memberi tunjuk ajar.

Kalau yang dah lama dan berpengalaman tu, tak kisah kalau nak cuba-cuba berlagak buat gaya terjun akrobatik ala-ala Tom Cruise pun boleh.

Tempat duduk percuma turut disediakan untuk mereka yang membeli-belah di 1 Utama untuk sama-sama menyaksikan aktiviti lasak yang menghiburkan ini.

Foto Facebook @WINDLAB.IndoorSkydiving
– Foto Facebook @WINDLAB.IndoorSkydiving

Pakej harga yang ditawarkan bermula dari RM89 untuk 2 kali penerbangan solo yang mengambil masa kira-kira 50 saat (lebih lama dari durasi terjun bebas dari ketinggian 14,000 kaki!)

Kalau dah tak tau nak buat apa pusing-pusing 1 Utama tu, bolehlah lepas ini cuba aktiviti skydiving di WINDLAB ni pula.

Tapi mengikut satu sumber yang tidak mahu dikenali, kalau nak datang tu, janganlah datang ketika perut tengah penuh dan kekenyangan baru lepas makan, ya?

WINDLAB terletak di Level 2, S601, 1 Utama E, 1 Utama Shopping Centre dan dibuka setiap hari mulai jam 10 pagi sehingga 10 malam (10.30 malam pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad).

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 012-224 4342 atau kunjungi laman web rasmi, platform media sosial WINDLAB atau e-mel [email protected]

Sumber: WINDLAB.my