Dua Lokasi Popular Di Selangor Untuk Mencuba Aktiviti ‘Paragliding’

Buat mereka yang betul-betul ‘berani’ khususnya para penggemar aktiviti lasak di Selangor, anda kini boleh mencuba aktiviti paragliding di dua lokasi popular iaitu di Kuala Kubu Bharu dan Banting.

Sempena kebenaran merentas negeri yang dibenarkan bermula 11 Oktober 2021, ramai yang telah mula membuat perancangan untuk bercuti atau pulang ke kampung.

Tidak kurang juga yang dah lama teringin nak lepas ‘gian’ untuk melakukan aktiviti-aktiviti lasak yang selama ini jauh dan terpaksa ditangguhkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Warga kota yang masih tidak membuat perancangan ke mana-mana sempena hujung minggu yang panjang kali ini bolehlah beriadah di kawasan sekitar sahaja seperti di Selangor.

Sekiranya anda ingin mencuba aktiviti paragliding di Selangor, anda boleh berkunjung ke ‘port’ atau dua lokasi berikut iaitu di Kuala Kubu Bharu dan Bukit Jugra, Banting.

Baca juga: Senarai 10 Kedai Kek, Roti Dan Pastri Yang Paling ‘Top’ Di Selangor

Aktiviti luncur udara yang ditawarkan oleh Ascendia Sports ini merupakan tandem paragliding yang dijalankan secara beriringan atau ditemani oleh seorang pilot atau seorang jurupandu paragliding profesional.

Foto Ascendia Sports
– Foto Ascendia Sports

Ianya ditawarkan pada harga yang berpatutan dan dibuka pada semua peringkat umur, namun mereka yang di bawah 18 tahun masih memerlukan kebenaran dari ibu bapa atau penjaga.

Untuk aktiviti paragliding di Bukit Jugra, harga yang ditawarkan untuk satu penerbangan beserta video adalah sebanyak RM240 sahaja.

Penerbangan mengambil masa selama 5 hingga 8 minit dan deposit sebanyak RM40 dikenakan untuk membuat tempahan manakala bakinya boleh dibayar secara tunai di lokasi penerbangan.

Untuk aktiviti paragliding di Kuala Kubu Bharu pula, harga yang ditawarkan adalah sedikit berbeza iaitu sebanyak RM350 untuk satu penerbangan beserta video.

Ini adalah kerana penerbangannya juga mengambil masa yang lebih lama iaitu sekitar 6 hingga 10 minit disebabkan oleh lokasi puncaknya yang lebih tinggi dari Bukit Jugra di Banting.

Deposit sebanyak RM53 pula diperlukan ketika membuat tempahan manakala bakinya sebanyak RM297 lagi boleh dibayar ketika tiba di lokasi.

Oh! Jangan risau. Harga ini adalah termasuk insurans kerana anda sentiasa dilindungi semasa aktiviti paragliding ini.

Sebelum mengunjungi lokasi aktiviti paragliding terkemuka di Selangor ini, terdapat juga beberapa perkara yang anda perlu ambil tahu.

Perkara paling penting ialah keadaan cuaca semasa khususnya di Selangor pada ketika itu. Anda akan diberitahu melalui e-mel sekiranya penerbangan terpaksa ditunda 2 hari sebelumnya jika cuaca buruk.

Anda juga digalakkan untuk memakai seluar panjang serta berkasut yang sesuai. Pemakaian selipar atau kasut bertumit tinggi adalah dilarang.

Untuk tempahan, sila layari laman web Paragliding In Malaysia.

Sumber: ParaglidingInMalaysia.com