Adakah Vaksin Anda Diterima Di Luar Negara? Ini Cara Untuk Semak Sebelum Merancang Percutian

Bagi mengelak dari rasa kecewa, adalah penting untuk menyemak terlebih dahulu sama ada vaksin anda diterima di luar negara atau tidak.

Ini adalah kerana vaksin yang diterima di luar negara adalah berbeza-beza mengikut negara dan tidak semestinya sama dengan vaksin yang diluluskan di Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan, berkuat kuasa 11 Oktober 2021, kerajaan bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap dua dos vaksinasi melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Namun, sebelum merancang percutian, adalah penting untuk anda menyemak dahulu jenis vaksin mengikut negara kerana tidak semua negara menerima jenis vaksin yang sama di seluruh dunia sebagai syarat kemasukan.

Baca juga: Dihalang Masuk Ke Arab Saudi, Pemuda Ini Kongsi Kisah Sedih Buat Penerima Vaksin Sinovac

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia sebelum ini telah meluluskan penggunaan secara kecemasan produk vaksin COVID-19 AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Sinovac, CanSino, Sputnik V, Sinopharm serta Johnson & Johnson.

Sehingga kini, lebih dari 90% kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat dewasa di negara ini telah dicapai menggunakan suntikan produk vaksin COVID-19 tersebut.

Walaupun pintu sempadan negara masih ditutup, banyak negara telah mengalu-alukan kedatangan pelancong dari luar.

Sekiranya anda merancang untuk melancong dalam masa terdekat, terdapat cara untuk anda memeriksa terlebih dahulu jenis vaksin yang diterima di luar negara.

Anda boleh menggunakan Vaccine Checker yang dibangunkan oleh laman web VisaGuide.World untuk tujuan tersebut.

Ianya amat mudah digunakan serta keputusan yang diperolehi amat pantas dan mengambil masa hanya dalam beberapa saat sahaja.

Vaccine Checker atau Covid Vaccine Checker for Travelling Abroad ini juga kerap dikemaskini sekiranya terdapat sebarang perubahan dan maklumat terkini.

Selain itu juga, anda boleh mengetahui Jumlah Bilangan Negara Yang Telah Meluluskan Penggunaan Jenis Vaksin, Bilangan Negara Yang Telah Meluluskan Vaksin Mengikut Jenis Vaksin dan Bilangan Vaksin Yang Diluluskan Mengikut Negara.

1 – Foto VisaGuide.World
– Foto VisaGuide.World

Untuk menggunakannya, anda hanya perlu layari https://visaguide.world/news/vaccine-checker-proof-of-immunity-for-travel/

Pilih jenis vaksin di bahagian ‘Available Vaccines’, seterusnya pilih nama negara yang ingin anda lawati di bahagian ‘Countries’.

Keputusan* akan diperolehi serta-merta dan kini anda tahu di negara manakah anda boleh pergi melancong buat masa ini.

*Masih tertakluk kepada syarat-syarat kelulusan lain dan kebenaran khas mengikut pihak berkuasa negara masing-masing.

Sumber: VisaGuide.World