Produk Malaysia #1 Dalam Senarai Mi Segera Terbaik New York Magazine

The Strategist, sebuah majalah online terbitan New York Magazine telah meletakkan produk dari Malaysia di tempat pertama dalam senarai mi segera terbaik.

Tidak perlu ditambah kerang, udang, mahupun taugeh, mi segera Penang White Curry keluaran MyKuali Manufacturing Sdn. Bhd. memang cepat untuk disediakan dan sedap dimakan begitu saja.

Atas faktor tersebut jugalah mi segera MyKuali Penang White Curry ini terpilih mengungguli senarai mi segera terbaik dalam kategori Best Soupy Instant Noodles.

Diinspirasikan dari makanan gerai dan penjaja yang popular di Pulau Pinang, mi segera keluaran syarikat dari Bukit Mertajam ini mula diperkenalkan di pasaran sejak bulan Mei 2013 lagi.

Foto The Strategist
– Foto The Strategist

Menurut artikel tersebut, harga bagi 4 bungkus mi segera Penang White Curry ini mencecah AS$15 atau kira-kira RM62 dan ianya memang mudah diperolehi secara online.

Senarai mi segera ini merupakan kompilasi ulasan yang dipetik dari 8 orang chef, penulis buku masakan dan pakar dalam bidang pemakanan terkemuka di Amerika Syarikat.

Seorang kolumnis dari Los Angeles Times, Lucas Kwan Peterson berkata, beliau amat menggemari rasa Penang White Curry yang memberikan rasa pedas kari dari cili hijau yang amat memuaskan.

Sepanjang pengalaman saya, anda memang buat keputusan yang bijak jika memilih mi segera MyKuali,” jelasnya lagi.

Penang White Curry dari MyKuali merupakan satu-satunya produk keluaran Malaysia yang mendapat tempat dalam senarai ini.

Tersenarai dalam kategori yang sama di tempat kedua ialah Sapporo Ichiban Tokyo Chicken Momosan Ramen yang dihasilkan melalui resepi ciptaan chef terkemuka Masaharu Morimoto.

Dibawahnya pula ialah mi segera Maggi perisa Masala dan diikuti oleh Mama Instant Noodle Shrimp Creamy Tom Yum yang diragui status Halalnya serta mungkin sukar untuk didapati di Malaysia.

Menduduki tempat terakhir kategori Best Soupy Instant Noodles ini ialah Nissin Instant Ramen Noodle Noodles With Soup Base, Black-Garlic Oil, Tonkotsu Pork yang jelas haram untuk orang Islam.

Indonesia turut boleh ‘claim’ kerana dua produk dari negara ini tersenarai di tempat pertama dan kedua dalam kategori Best Saucy Instant Noodles iaitu Indomie perisa original dan Indomie perisa ayam BBQ.

Turut tersenarai dalam kategori yang sama ialah produk mi segera dari Amerika Syarikat iaitu Nongshim Chapagetti Chajang Noodle.

Kategori terakhir ialah Best Spicy Instant Noodles yang hanya menyenaraikan 2 jenis mi segera iaitu jenama yang tidak pernah didengar Nongshim Shin Noodle Ramyun dan Tseng Noodles Scallion With Sichuan Pepper.

Baca juga: Tonton Reaksi Warga Kota New York Cuba Mi Maggi Kari

Itu saja senarai 10 mi segera terbaik. Tahniah Penang White Curry dari MyKuali kerana mengungguli senarai. Tidak pasti pula kenapa Maggi Kari tidak layak untuk turut tersenarai.

Sumber: The Strategist