Adventure Park Desaru Coast Kembali Dibuka, Harga Tiket Hanya RM50!

Adventure Park Desaru Coast menawarkan tiket dengan nilai tawaran hebat istimewa buat rakyat Malaysia yang kembali boleh merentas negeri untuk bercuti.

Tidak kira berapa pun umur anda, untuk kanak-kanak yang berumur 3 tahun sehinggalah warga emas yang telah mencecah 60 tahun ke atas, harga tiket hanyalah RM50 sahaja untuk kemasukan sepanjang hari.

Kalau bukan warganegara pun boleh! RM50 sahaja. Sebelum ini, harga tiket biasa untuk kanak-kanak serta warga emas adalah RM113 manakala tiket dewasa mencecah RM151.

Wow! Memang berbaloi sangat. Lepas ni, bolehlah nak main air puas-puas sampat ‘kecut’ dari pagi sampai petang. RM50 je pun!

Yang sukakan gelongsor dan beraneka jenis ‘ride’ tu, lepas ni dapatlah nak main Riptide, Wild Whirl, Super Twister, Swinging Ship, The Tempest dan naik roller coaster Kraken’s Revenge berulang kali.

Foto Facebook Desaru Coast
– Foto Facebook Desaru Coast

Pengunjung walau bagaimanapun, dinasihatkan untuk tempah tiket awal secara dalam talian kerana tiket adalah terhad untuk kemasukan 2,500 orang sahaja setiap hari bagi menjaga penjarakan sosial.

Tuala mandi juga disyorkan agar dibawa sendiri oleh pengunjung dari rumah walaupun terdapat kedai yang menjualnya.

Selain itu, pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan pada setiap masa melainkan pengunjung sedang berada di dalam air.

Beberapa tarikan dan kemunculan maskot juga tidak dapat diadakan buat masa ini bagi mengelakkan berlakunya kepadatan tumpuan orang ramai.

Tempoh promosi ini adalah untuk kunjungan dari 14 Oktober sehingga 5 Disember 2021 sahaja dan harga yang ditawarkan adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan atau cukai kerajaan yang lain.

Baca juga: Adakah Vaksin Anda Diterima Di Luar Negara? Ini Cara Untuk Semak Sebelum Merancang Percutian

Pengunjung Adventure Park Desaru Coast juga masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) umum yang disarankan oleh kerajaan.

Mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas perlu mempunyai status vaksin lengkap dan Sijil Vaksinasi Digital MySejahtera dengan status ‘Risiko Rendah Tiada Simptom’ atau ‘Kontak Kasual Tiada Simptom’ perlu dikemukakan.

Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pula mesti ditemani oleh ibu bapa yang telah mendapat vaksin lengkap.

Pemeriksaan suhu akan dilakukan di pintu masuk dan setiap pengunjung yang mempunyai suhu 37.5 darjah Celsius ke atas atau bergejala tidak dibenarkan masuk.

Adventure Park Desaru Coast yang terletak di Bandar Penawar, Johor dibuka kembali bermula 14 Oktober 2021 dan beroperasi dari 10 pagi hingga 6 petang setiap hari Khamis sehingga Ahad termasuk cuti sekolah dan cuti umum.

Sumber: Facebook Desaru Coast