Resipi Daging Harimau Menangis ‘Simple’ Yang Boleh Siap Dalam 30 Minit

Resipi Daging Harimau Menangis ini sebenarnya sangat mudah dan boleh disiapkan dalam hanya kira-kira 30 minit sahaja serta tanpa perlu menitiskan air mata pun!

Memang mula-mula dengar pun macam tak percaya, tapi bila dilihat dari segi bahan-bahan yang digunakan serta cara memasaknya, agak ‘simple’ juga resipi Daging Harimau Menangis ni sebenarnya.

Cuma, jika diambil kira juga masa untuk memerapnya, waktu 30 minit tersebut macam ‘clickbait’ yang agak tidak masuk akal juga sebenarnya. Tapi, tak apalah.

Jika menurut Wikipedia, istilah “harimau menangis” ini sebenarnya merupakan terjemahan daripada bahasa Thai iaitu suea rong hai yang merupakan sejenis masakan popular dari timur laut Thai.

Ia terdiri daripada sejenis bahagian daging yang terdapat pada dada lembu yang ditambah dengan rempah-ratus sebagai perisa serta dipotong dalam kepingan-kepingan kecil.

Terdapat beberapa versi mengenai asal usul bagaimana namanya diperolehi. Salah satu darinya ialah bahagian daging ini tidak dimakan dan sering ditinggalkan sahaja oleh harimau yang menjadikan lembu sebagai mangsa buruan.

Ada juga yang menganggap daging ini kelihatan seakan-akan seperti kulit harimau. Ketika daging ini dibakar, titisan lapisan lemaknya yang mencair seolah-olah seperti air mata yang sedang menitis.

Apa-apa pun, jom cuba sendiri resipi Daging Harimau Menangis ni yang memang ‘simple’ dan sangat sesuai dimakan seisi keluarga pada bila-bila masa.

Baca juga: Resipi Murtabak Pasta Yang Lebih Sedap, Tebal Dan Puas Dimakan Dari Murtabak Maggi

Masa penyediaan: 10 minit (tidak termasuk tambahan 40 minit lagi untuk memerap daging terlebih dahulu)
Masa memasak: 20 minit
Saiz hidangan: Boleh dimakan oleh 4 hingga 6 orang

Foto Campbell Soup Southeast Asia
– Foto Campbell Soup Southeast Asia

Bahan-bahan dan cara-cara untuk menyediakan daging:
1) 6 sudu besar mayones
2) 1kg daging

  • Daging perlu dihiris menjadi kepingan nipis dan dilecek dengan pemukul. Mayones akan membantu melembutkan daging tersebut.

Bahan-bahan dan cara-cara untuk menyediakan pes perapan daging:
1) 6 sudu besar sos cili Thai
2) 3 batang serai
3) 5 labu bawang putih
4) 30 biji cili padi
5) 3 biji bawang merah
6) 6 batang akar ketumbar
7) 4 sudu besar daun ketumbar yang dicincang halus
8) 2 sudu besar serbuk jintan manis
9) 3 sudu besar gula perang
10) 3 sudu besar sos ikan
11) 6 hingga 8 sudu besar jus limau nipis

  • Kisar kesemua bahan ini untuk dijadikan pes seterusnya dicampur ke dalam perapan daging serta mayones tadi dan dibiarkan selama 40 minit (boleh disediakan lebih awal dan disimpan).

Bahan-bahan dan cara-cara untuk menyediakan sos:
1) 6 sudu besar mayones
2) 5 sudu besar sos cili Thai
3) 2 sudu besar kicap manis pedas
4) 2 sudu besar daun ketumbar yang dicincang halus
5) 2 biji perahan jus limau nipis

  • Campurkan kesemua bahan-bahan dan gaul sehingga sebati untuk menjadikannya sos.

Cara-cara untuk memasak:
1) Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng daging yang diperap tersebut sehingga naik bau dan kedua-dua belah bahagiannya menjadi perang keemasan.
2) Toskan minyak dan hidangkan bersama sos.

Wow! Dah siap. Kalau tak dikira dengan masa yang diambil untuk memerap, memang tak sampai 30 minit dan memang ‘simple’ pun, kan? Selamat ‘menangis’!

Sumber: Kimball.com.my