Makan Sambil Main ‘Squid Game’, Kafe Ini Tawar Pengalaman Unik Buat Pelanggannya

Sesiapa yang mengunjungi kafe ini untuk menjamu selera pasti teruja apabila turut diberikan tawaran untuk mencuba sendiri pengalaman bermain Squid Game.

Bagi yang agak ketinggalan, Squid Game atau Ojingeo Geim merupakan sebuah drama Korea Selatan yang mula ditayangkan di saluran penstriman Netflix mulai 17 September 2021 yang lalu.

Siri televisyen yang mengandungi 9 episod tersebut mengisahkan tentang sekumpulan 456 lelaki dan wanita yang terdesak serta dihimpit masalah kewangan mempertaruhkan nyawa masing-masing demi memenangi hadiah wang tunai bernilai 45.6 bilion won (kira-kira RM160 juta).

Mereka dikehendaki bertanding dalam 6 jenis permainan tradisi kanak-kanak dan hanya satu pemenang tunggal yang masih belum terbunuh akan dapat membawa pulang hadiah tersebut.

Squid Game pernah diberi penilaian 100% berdasarkan 7 ulasan di Rotten Tomatoes dengan penilaian purata 8.50 daripada 10.

Drama ini mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia dan menjadi pelancaran siri yang mendapat tontonan paling ramai iaitu 111 juta pelanggan Netflix dalam hanya 28 hari.

Baca juga: Hanya Pakai Dinding Berlubang Dan ‘Tangan Beruang’, Kafe Ini ‘Laku Keras’

Sebuah kafe di Jakarta Barat, Indonesia memberi pelanggannya peluang untuk mencuba sendiri pengalaman bermain Squid Game sambil menikmati hidangan.

Foto Instagram @strawberycafe
– Foto Instagram @strawberycafe

Di satu ruangan gelap yang hanya disinari oleh lampu neon, pelanggan Cafe Strawberry akan disambut oleh pengawal permainan Squid Game yang lengkap berpakaian dan bertopeng seperti dalam siri tersebut.

Pengawal ‘bersenjata’ ini seterusnya akan membawa pelanggan ke sebuah ruangan untuk bermain permainan ‘Red Light, Green Light’.

Sambil makan-makan, pelanggan turut terhibur apabila permainan ini bermula yang menghendaki mereka untuk turut berhenti dan menjadi kaku apabila arahan dalam bahasa Korea memberi isyarat “Red Light!”.

Namun, pelanggan tidak perlu risau kerana mereka boleh menyambung kembali untuk menjamu selera dan tidak akan ditembak mahupun dibunuh.

Mereka juga hanya boleh ‘suka-suka’ untuk mencuba pengalaman bermain Squid Game di kafe ini kerana tiada hadiah berupa wang tunai yang ditawarkan.

Selain dari ‘Red Light, Green Light’, pelanggan juga diberi peluang untuk mencuba permainan ‘Dalgona Candy’ atau honeycomb cookie mengikut masa yang diberi oleh pengurusan Cafe Strawberry.

Lebih dari 200 pelanggan berkunjung ke Cafe Strawberry setiap hari bagi mencuba sendiri pengalaman unik ini.

“Setelah kami memperkenalkan acara Squid Game di kafe ini, penjualan kami meningkat dengan ketara,” ujar Putra Priyadi, 39, pemilik kafe.

Seorang pelanggannya berkata, “Ianya unik serta menarik dan kini semua orang dapat merasakan betapa cemasnya bermain Squid Game,” jelas Jennifer Susanto, pelajar berusia 16 tahun setelah dia gagal menyempurnakan permainan.

Sumber: Reuters