Hanya Pakai Dinding Berlubang Dan ‘Tangan Beruang’, Kafe Ini ‘Laku Keras’

Siapa sangka idea dekorasi ‘gila’ dinding kafe berlubang dan barista ‘bertangan beruang’ mendapat sambutan di luar jangkaan.

Bunyi pun macam tak percaya, kan? Tapi, itulah hakikatnya yang terjadi di sebuah kafe yang terletak di Jalan Yongkang, Shanghai.

Lebih mengagumkan ialah kafe dengan dinding berlubang dan tangan beruang ini tidak menyediakan kerusi atau meja langsung untuk pelanggan.

Yang ada hanyalah dinding berlubang berwarna kelabu yang hanya muat-muat untuk tangan barista yang memakai sarung tangan beruang untuk berinteraksi dengan pelanggan.

Foto Getty Images
– Foto Getty Images

Melalui lubang ini jugalah minuman yang dipesan akan diserahkan kepada pelanggan yang menunggu setelah membuat pesanan.

Di dinding yang berlubang ini juga ramai yang mengambil kesempatan untuk bergambar, melambai, menyapa dan menepuk-nepuk manja ‘beruang’ tersebut.

Yang paling menakjubkan ialah semua minuman di kafe tersebut berharga hanya 20 yuan setiap satu (kira-kira RM13).

Untuk membuat pesanan minuman pula, pelanggan hanya perlu menggunakan telefon pintar untuk mengimbas kod QR yang disediakan.

Baca juga: Hanya Di Itali, Anda Kini Boleh Makan Piza Panas-Panas Dengan Memesan Terus Dari ‘Vending Machine’

Kafe yang diberi nama Hinichijou atau boleh ditafsirkan sebagai bermaksud ‘luar biasa’ dalam bahasa Jepun ini turut dikenali sebagai Bear Paw Cafe di kalangan masyarakat setempat.

Kafe ini menjadi tular di kalangan netizen bukan sahaja disebabkan oleh keunikan lubang dinding dan ‘beruang’nya, malah ianya juga disebabkan oleh keistimewaan anggota kakitangannya.

Menurut pengasas kafe ini, Wang Haiqing, empat daripada barista yang bekerja di situ adalah dari golongan orang kelainan upaya yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan.

Ini termasuklah pengurus kafe tersebut iaitu Chen Yingying yang merupakan juara membancuh kopi Kejohanan Profesional Peringkat Kebangsaan Bagi Orang Kelainan Upaya 2019.

Foto Getty Images
– Foto Getty Images

Sejak dibuka secara rasmi pada 3 Disember 2020 yang lalu, kafe ini diserbu ramai pelanggan hinggakan waktu menunggu untuk mengambil pesanan minuman adalah kira-kira sejam.

Hinichijou turut pernah dilanda kontroversi apabila dikatakan tidak mematuhi syarat perlesenan kerana ‘berselindung’ di sebalik dinding ketika beroperasi.

Tindakan kafe ini ‘menyembunyikan’ pekerja-pekerjanya yang cacat dari penglihatan ramai turut pernah dikritik dan dikecam.

Selain Shanghai, cawangan kafe dengan dinding berlubang dan ‘tangan beruang’ ini turut dibuka di Hangzhou, Nanjing, Wuhan dan dijangka mencecah 100 lagi cawangan di sekitar China tidak lama lagi.

Sumber: The National